THIVAN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
THIVAN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Seorang mekanik yang sudah beristeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan yang baru lapan hari dikenali, dalam sebuah kereta di Batu Pahat, 21 Jun lalu.

Tertuduh, Thivan Rajaretnam, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 16 tahun, dalam kereta di sebuah kampung di Batu Pahat, jam 12.30 tengah malam.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, tertuduh mengenali remaja itu menerusi media sosial dan tertuduh mengumpan mangsa kononnya mahu keluar makan bersama.

Sebaliknya, tertuduh membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kampung terbabit sebelum melakukan perbuatan keji itu.

Selepas kejadian, mangsa ditinggalkan di tepi jalan sebelum dia dijemput bapanya.

Mangsa menceritakan kejadian kepada bapanya sebelum membuat laporan di Balai Polis Semerah, pada hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Kluang setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:42 PM