WONG ketika sidang media di Wisma Kastam Selangor. FOTO Faiz Anuar
WONG ketika sidang media di Wisma Kastam Selangor. FOTO Faiz Anuar
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedia memberikan kerjasama berhubung siasatan terhadap dua penguat kuasa jabatan itu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Kedua-duanya adalah individu yang ditahan menerusi Op Jaguar selepas dikatakan terbabit dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wong Pun Sian berkata, sisatan sedang dijalankan dengan pihak sedang menunggu perkembangan mengenainya.

"Kita akan tunggu dan lihat apa hasilnya namun bagi pihak JKDM, kita akan berikan kerjasama sepenuhnya," katanya ringkas pada sidang media di Wisma Kastam Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua pegawai JKDM ditahan selepas disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Kedua-dua lelaki berusia 46 dan 56 tahun itu ditahan SPRM dalam Op Jaguar, Isnin lalu.

Mereka disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

Setakat ini, tiada rampasan dibuat dan siasatan lanjut dijalankan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 5:40 PM