FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pekerja kepada dalang utama dan menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Jaguar.

Menurut sumber, penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dijalankan susulan operasi yang dijalankan dan soal siasat terhadap tujuh individu yang ditahan di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur pada kelmarin.

"Siasatan masih dijalankan dan SPRM juga sudah mengenal pasti penguat kuasa yang disogok sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

"Melalui siasatan, sindiket ini sudah lama beroperasi dan kegiatannya terbongkar hasil maklumat yang diterima SPRM daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong," katanya.

Sumber berkata, dalam operasi di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai RM23.4 juta, sementara di Kuala Lumpur pula SPRM merampas beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Terdahulu, SPRM menahan seramai tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM empat lelaki direman kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam operasi itu, tujuh orang ditahan di mana empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 2:52 PM