LALAT yang menghurungi beberapa kawasan tapak niaga di Sungai Bakap. FOTO Nur Izzati Mohamad
LALAT yang menghurungi beberapa kawasan tapak niaga di Sungai Bakap. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Masalah lalat sinonim dalam kalangan penduduk yang menetap di Sungai Bakap sejak bertahun lalu, dan ia tidak boleh dihindar.

Biarpun berlaku mengikut musim tertentu namun ia tetap merengsakan masyarakat, terutamanya peniaga kecil kerana gangguan lalat dikhuatiri menjejaskan kualiti makanan seterusnya mengundang masalah kesihatan terhadap pelanggan.

Rabayah Shafiee, 53, berkata, dia berniaga nasi campur sejak lapan tahun lalu dan masalah lalat tidak pernah pudar bahkan semakin menjadi-jadi.

"Ada kalanya lalat sedikit tetapi ada masanya, jumlahnya besar malah saya perlu guna sehingga 10 pelekat lalat sehari.

"Di sini tiada elektrik, jadi tak boleh hendak pasang perangkap lalat elektrik, terpaksa guna kaedah tradisional.

"Jadi, saya harap, sepanjang tempoh berkempen ini (PRK Dun Sungai Bakap), bakal YB (Yang Berhormat wakil rakyat) yang menang dapat cari jalan penyelesaian bagi atasi gangguan lalat," katanya ditemui di gerainya, di sini, hari ini.

Jelasnya, dia turut berdepan kerugian apabila terpaksa menggantikan semula minuman yang terdedah dengan lalat.

"Ketika makan, pelanggan boleh berjaga-jaga tetapi ada kalanya pelanggan terlupa menutup minuman. Jika lalat masuk ke dalam cawan, kita perlu ganti," katanya.

Peniaga durian, Salleh Abdul Razak, 65, berkata, ada pihak pernah datang untuk membasmi lalat di tapak niaga di sini, namun masalah itu tidak dapat diatasi sepenuhnya.

"Saya tidak pasti mengapa masalah lalat melanda kawasan ini, mungkin ia disebabkan ladang ternakan ayam yang banyak terdapat di sini.

"Bukan kata tapak niaga ini, tetapi masuklah celah ceruk mana-mana kawasan (premis), apatah lagi pasar raya dalam Sungai Bakap, mesti akan jumpa lalat," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam goreng, Habibah Salleh, 46, merayu bakal wakil rakyat kawasan itu supaya dapat bertindak segera bagi menyelesaikan permasalahan terbabit.

"Bukan setakat peniaga malah penduduk juga sengsara dengan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:53 PM