AZAM ketika sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur. FOTO Ghazali Kori
AZAM ketika sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur. FOTO Ghazali Kori
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Seramai 12 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa seberat 1.8 tan membabitkan bernilai lebih RM23 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, dua daripada yang ditahan membabitkan sebuah agensi penguat kuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya menemui empat tan sisik lagi yang cuba untuk dilupuskan, namun berjaya ditumpaskan.

"Saya jangkakan tidak ada lagi tangkapan selepas ini dan hanya membabitkan 12 orang yang ditahan ini saja.

"Apa yang penting sekarang ini kita mahu lengkapkan kertas siasatan dalam masa dua minggu, itu janji pegawai penyiasat kepada saya," katanya selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di sini, hari ini.

Azam berkata, pihaknya menerima maklumat daripada badan bukan kerajaan (NGO) luar negara dan juga daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kerjasama SPRM dengan pihak antarabangsa ini sedang giat dibuat untuk membantu menyelesaikan kes sindiket antarabangsa.

"Ini satu sindiket yang besar membabitkan sindiket antarabangsa dan dibawa masuk ke negara ini.

"Malah, ada pihak-pihak di sini membabitkan ejen dan juga penguat kuasa yang bersekongkol untuk melupuskan sisik tenggiling ini," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota pada 14 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 5:30 PM