BAGI menepati prinsip maqasid syariah yang memelihara maslahah secara mapan dan menyeluruh, maka potensi instrumen CSR Islam seperti wakaf adalah wajar dikembangkan.
BAGI menepati prinsip maqasid syariah yang memelihara maslahah secara mapan dan menyeluruh, maka potensi instrumen CSR Islam seperti wakaf adalah wajar dikembangkan.
Nor Rosnita Gani

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam ucap tama sesi meja bulat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) ke-12 secara maya bertitah agar penerapan maqasid syariah diberi pertimbangan serius untuk diterapkan secara menyeluruh dalam pengendalian perkhidmatan kewangan Islam. Baginda juga menyatakan penerapan maqasid syariah belum diterima secara menyeluruh bagi mengurangkan jurang antara God and mammon (Tuhan dan memburu kekayaan).

Titah baginda ini jelas menunjukkan sudah tiba masanya untuk industri kewangan Islam menyahut titah tersebut ke arah penerapan maqasid syariah secara menyeluruh dalam operasi dan perkhidmatan yang dijalankan. Perkara ini juga boleh dikaitkan dengan amalan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diterima pakai di Malaysia sebagai polisi yang mengikat syarikat korporat termasuk industri kewangan Islam untuk melaksanakan perniagaan dengan beretika dan mengambil kira sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat. CSR  juga diperakui dapat mengurangkan jurang yang terdapat antara God and mammon.

Sebagai sebuah negara yang menjadi penunjuk utama kepada hab kewangan Islam dan peneraju kajian berkaitan CSR Islam, Malaysia disarankan membentuk satu set kerangka CSR Islam berlandaskan maqasid syariah untuk diimplementasikan oleh industri kewangan Islam dan syarikat korporat di Malaysia bagi menjadi contoh kepada negara lain. Pendekatan CSR Islam yang bersesuaian dengan landskap Malaysia boleh dibangunkan oleh agensi pengawal selia yang bertanggungjawab menerusi pelaksanaan secara berperingkat.

Pada masa ini, kerajaan Malaysia mengorak langkah dalam menerapkan prinsip maqasid syariah dalam urus tadbir negara menerusi peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai agensi yang berperanan menyelaraskan hal ehwal Islam di Malaysia. Oleh itu, langkah seterusnya boleh dirangka untuk membangunkan sebuah model CSR yang berpandukan maqasid syariah sebagai panduan kepada industri kewangan Islam dan syarikat korporat. Penerapan maqasid syariah dalam amalan CSR secara berperingkat boleh dilakukan menerusi fasa pemahaman, penerimaan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan. Pelaksanaan berfasa ini penting bagi mewujudkan pelaksanaan yang terancang dengan mengambil kira cabaran yang ada.

Cabaran paling utama ialah kefahaman terhadap maqasid syariah, terutama yang melibatkan terma dalam bahasa Arab. Ketidakfahaman ini boleh menyebabkan rasa tidak yakin dan memandang remeh terhadap pendekatan Islam dalam tadbir urus sehingga menyukarkan penerimaan mereka terhadap agenda atau dasar yang diperkenalkan. Golongan ini kebanyakannya melihat agenda Islam dalam ruang yang sempit, sesuai untuk orang Islam sahaja dan hanya berkaitan hukum hakam atau urusan ibadah semata-mata. Cabaran seterusnya berkaitan tahap kemampuan pengurusan atasan untuk memimpin, merancang dan membuat keputusan yang berlandaskan maqasid syariah dalam amalan CSR yang merupakan satu cabaran besar dalam sesebuah organisasi.

Cabaran lain adalah sumber dana yang terhad untuk melaksanakan CSR yang bersifat mapan dan memenuhi maslahah yang lebih menyeluruh. Kebanyakan CSR pada masa kini adalah bersifat jangka pendek dan one off. Bagi menepati prinsip maqasid syariah yang memelihara maslahah secara mapan dan menyeluruh, maka potensi instrumen CSR Islam seperti wakaf adalah wajar untuk dikembangkan. Oleh itu, kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat adalah sangat perlu diwujudkan. Usaha Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) di bawah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dalam mengimarahkan kesedaran berwakaf menerusi Bulan Wakaf Kebangsaan merupakan usaha yang sangat baik. Hal ini kerana, peranan wakaf adalah sangat signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara dalam mengharungi fasa pandemik Covid-19. Ia dibuktikan dengan perancangan kerajaan untuk membentuk Pelan Induk Wakaf  Nasional bagi memperkasakan pengurusan dan pembangunan wakaf di Malaysia untuk kesejahteraan pembangunan sosioekonomi negara yang mapan. Pelan ini bakal membawa pemerkasaan dalam mentadbir dan mengurus serta memanfaatkan wakaf dengan lebih optimum dan berkesan.

Wakaf adalah instrumen pembangunan sosioekonomi yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai instrumen CSR Islam yang bersifat mapan dan menepati maslahah yang dibawa oleh maqasid syariah. Sifat wakaf yang fleksibel menjadikan aset wakaf boleh dikembangkan selari dengan tuntutan semasa dan manfaatnya boleh disebarkan kepada semua lapisan masyarakat. Tanpa meminggirkan kedudukan Majlis Agama Islam Negeri (Main) sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di negeri, pembabitan Jawhar sebagai penyelaras menjadikan usaha ke arah pemerkasaaan pentadbiran wakaf adalah lebih strategik. Kerjasama daripada individu industri kewangan Islam dan syarikat korporat boleh diperhalusi oleh Jawhar, YWM dan Main untuk mengenal pasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalin bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset wakaf. Penerapan maqasid syariah dalam amalan CSR Islam menerusi instrumen wakaf ini menjadi lebih tersusun dan strategik dengan kerjasama semua pihak demi kepentingan sosioekonomi ummah.

Meskipun berdepan dengan beberapa cabaran, kepentingan menerapkan prinsip maqasid syariah dalam tadbir urus CSR tidak dapat disangkal lagi. Hal ini kerana, keberkesanan dan kecekapan pentadbiran sangat bergantung kepada penerapan prinsip dinamik yang dibawa oleh maqasid syariah. Oleh itu, penerapan maqasid syariah harus diberi perhatian serius dan menjadi asas pertimbangan dalam amalan CSR selain menjadi pengukuran untuk menentukan prioriti bagi setiap aktiviti CSR yang akan dilaksanakan.


Penulis Pegawai Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:25 PM