Beruang matahari betina yang berjaya ditangkap di Kampung Air Asahan Hulu. FOTO Ihsan Perhilitan
Beruang matahari betina yang berjaya ditangkap di Kampung Air Asahan Hulu. FOTO Ihsan Perhilitan
Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Air Asahan Hulu di sini, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan beruang itu sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan berkenaan, selain dapat mengelakkan kerugian berterusan dialami mereka akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik berkenaan.

Katanya, pada 19 Mei lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menerima aduan mengenai seekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kebun di kampung berkenaan.

"Bertindak atas aduan itu, anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menjalankan siasatan di lokasi aduan dan memasang satu unit perangkap di lokasi aduan pada 25 Mei dan hari ini (semalam), haiwan terbabit memasuki perangkap.

"Operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan ini ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat membabitkan kakitangan Jabatan Perhilitan Daerah Jeli," katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kes konflik membabitkan beruang dan penduduk, pekebun dinasihatkan mengambil langkah-langkah seperti memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.

"Selain itu, sentiasa berteman semasa ke kebun dan tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam dan membersihkan kebun serta tidak dibiarkan bersemak samun," katanya.

Mohamad Hafid berkata, bagaimanapun, tangkapan dan pemindahan beruang matahari bukanlah penyelesaian jangka panjang.

"Ini disebabkan kawasan itu adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan (HS) Air Satan yang menjadi habitat asal hidupan liar berkenaan.

"Orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri," katanya.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 9:27 AM