Hanneeyzah Bariah Baharin


SELEPAS menangkap seekor harimau di Dungun pada Jumaat lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri berjaya menangkap seekor beruang matahari di Kampung FELDA Belara, Kuala Terengganu, hari ini.

Pengarah PERHILITAN Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, beruang matahari itu disedari memasuki perangkap dipasang PERHILITAN pada 7.30 pagi oleh seorang penduduk selepas ia dialihkan daripada lokasi awal yang dipasang sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, pihaknya memasang perangkap untuk menangkap beruang berkenaan yang juga dikenali sebagai beruang anjing sejak dua minggu lalu selepas menerima aduan penduduk kerana ternampak beruang itu berlegar di kawasan perkampungan itu.

“Bagaimanapun, beruang matahari itu hanya memasuki perangkap selepas perangkap itu dialihkan kira-kira 100 meter daripada lokasi asal ia dipasang berhampiran rumah penduduk.

“Beruang matahari ini merbahaya dan boleh mencederakan sekiranya berasa terancam kerana ia mempunyai kuku yang tajam, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka.

“Kita akan lakukan pemeriksaan kesihatan terhadap beruang berkenaan dan sekiranya ia disahkan sihat, kita akan lepaskannya di kawasan Taman Negara.

“Jika sebaliknya, kita akan hantar beruang matahari ini ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) di Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan beruang matahari itu adalah yang ketiga pada tahun ini dengan dua tangkapan di Jambu Bongkok, Marang.

Abdul Malek berkata, pihaknya tidak menolak habitat beruang matahari itu di hutan terganggu menyebabkan ia keluar ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan dan perlindungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 11:47 AM
Beruang matahari yang masuk perangkap di belakang rumah penduduk di FELDA Belara, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Imran Makhzan
Beruang matahari yang masuk perangkap di belakang rumah penduduk di FELDA Belara, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Imran Makhzan