PETIKAN video kes pencemaran air Sungai Subang di Elmina, berdekatan Shah Alam. FACEBOOK Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official).
PETIKAN video kes pencemaran air Sungai Subang di Elmina, berdekatan Shah Alam. FACEBOOK Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official).
Ruwaida Md Zain

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor menyerbu kilang kacang di kawasan perindustrian di Shah Alam susulan aduan penduduk sekitar yang mendapati sungai berhampiran kediaman mereka bertukar kepada warna hijau.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan berkata, pasukan penguatkuasa JAS Negeri Selangor melakukan siasatan segera

dan menyusuri kesan pencemaran sehingga ke hulu sungai.

"JAS berjaya menemui punca yang menyebabkan pencemaran berkenaan berlaku dan pemeriksaan lanjut di kilang itu, JAS menemui tiga tong besar yang dijadikan tempat simpanan air sisa (efluen) daripada proses merendam kacang yang menggunakan pewarna hijau.

"Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) yang dipasang di kilang didapati tidak lagi beroperasi semenjak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pemilik kilang menyimpan air sisa (efluen) di dalam tong dan membuangnya ke longkang premis serta akhirnya mengalir ke Sungai Subang.

"Sampel air sisa (efluen) dan enap cemar diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis komposisi buangan," katanya.

Menurut KASA, JAS mengambil tindakan segera di mana semua peralatan proses iaitu 20 tangki merendam kacang, tiga tangki simpanan air sisa (efluen) dan SPEP dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan operasi kilang dan pencemaran serta-merta sehingga siasatan kes selesai.

"JAS Negeri Selangor jugaakan menyiapkan kertas siasatan bagi mendakwa premis di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam

Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 [PPKAS (EP), 2009] dan seksyen lain yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Pihak yang disabitkan kesalahan di bawah PPKAS (EP) 2009 boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

KASA juga ingin memberi penghargaan kepada pengadu kerana bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha menangani pencemaran dengan membuat laporan awal.

"KASA memohon kerjasama orang awam untuk terus melaporkan sebarang aktiviti pencemaran melalui talian aduan menerusi Whatsapp atau telefon 019-9863247; talian bebas tol 1-800-88-2727; e-mel ke [email protected] atau [email protected] dan Portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my., " katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 12:11 PM