SEREMBAN 22 MEI 2021. Pasukan HAZMAT Bomba Negeri Sembilan dan JAS Negeri Sembilan membuat siasatan dalam kawasan kilang. Ihsan Bomba.
SEREMBAN 22 MEI 2021. Pasukan HAZMAT Bomba Negeri Sembilan dan JAS Negeri Sembilan membuat siasatan dalam kawasan kilang. Ihsan Bomba.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengarahkan kilang plastik di Senawang menghentikan operasi serta merta sehingga langkah-langkah kawalan dan pembersihan diambil sepenuhnya susulan tumpahan bahan kimia, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Zhen Xing Plastic Sdn Bhd turut diarah melakukan kerja pembersihan.

"Setakat ini, pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan telah mengarahkan pihak kilang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang longkang di dalam bangunan kilang dan longkang awam yang dicemari bahan tumpahan dengan serta merta.

"Pasukan penyiasat juga memaklumkan kepada pihak kilang bahawa pengendalian bahan pembersihan tumpahan terbabit hendaklah diuruskan mengikut PPKAS (BT) 2005," katanya.

Veerapan berkata, arahan juga dikeluarkan mengikut Seksyen 31 dan 37, AKAS 1974 kepada pihak kilang supaya menjalankan kerja pembersihan tumpahan di dalam dan luar premis sehingga tiada lagi limpahan bahan tercemar memasuki ke dalam longkang awam dan tiada lagi bau yang menyebabkan aduan daripada orang awam.

"Pasukan penyiasat juga menjalankan pengawasan kualiti udara pada jarak sekitar tiga kilometer kerana terdapat beberapa taman perumahan terletak berhampiran di lokasi kejadian," katanya.

Tambahnya, sisa-sisa daripada kerja pembersihan hendaklah diuruskan sebagaimana kehendak AKAS 1974 dan PPKAS (BT) 2005.23.

"Penyediaan kertas siasatan akan dibuka sekiranya hasil pemeriksaan pasukan penyiasat JAS mendapati berlaku kecuaian sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar dan boleh didakwa di bawah AKAS 1974," katanya.

Semalam, kira-kira 100 orang penduduk di dalam kawasan Taman Bandar Senawang dan kawasan sekitarnya, mengalami sesak nafas, muntah dan sakit kepala terlepas terhidu bau dipercayai bahan kimia susulan pencemaran dari sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Senawang di sini.

Pencemaran kimia berkenaan dikatakan berlaku disebabkan kerosakan pada tangki simpanan mengandungi methyl mathacrylate di dalam kilang terbabit, menyebabkab berlaku tumpahan bahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 12:57 PM