Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Guna akaun media sosial palsu untuk mengurat individu kesepian sebelum memujuk mangsa bermain permainan judi dalam talian.

Itu modus operandi disyaki digunakan sebuah sindiket 'love scam' selepas markas mereka di sebuah premis kediaman digempur pihak polis dalam satu operasi di sekitar ibu negara, di sini 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 11 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun ditahan kerana disyaki sebagai ejen pusat panggilan diberkas.

"Hasil pemeriksaan dan penelitian barang kes mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak April lalu dengan memperdaya mangsa menggunakan akaun Facebook dan Instagram.

"Mangsa kemudiannya akan ditawarkan pautan judi atas talian dan mangsa yang bermain menerusi pautan itu akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan," katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini hari ini.

DATUK Seri Ramli menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas ketika sidang media khas mengenai beberapa kes jenayah komersil yang berjaya ditumpaskan, di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Ramli menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas ketika sidang media khas mengenai beberapa kes jenayah komersil yang berjaya ditumpaskan, di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. FOTO Eizairi Shamsudin

Ramli berkata, hasil soal siasat suspek berkenaan mendakwa menerima gaji RM2,500 sebulan dan dibayar komisen empat peratus bagi setiap jumlah yang berjaya ditipu daripada mangsa.

Katanya, pasukan serbuan merampas sembilan unit komputer riba, telefon bimbit (33), rantai manik (satu), cincin emas (lima), beg silang (enam), rantai leher emas (satu), dan jam tangan mewah (dua).

Menurutnya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:10 PM