Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tujuh lelaki warga Jepun yang disyaki ahli sindiket 'phone scam' ditahan pada serbuan di sebuah kediaman di sekitar ibu negara, di sini, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima maklumat daripada kedutaan Jepun di Malaysia berhubung kegiatan itu pada 13 November.

"Pihak kedutaan memaklumkan menerima aduan daripada seorang warga Jepun yang ditipu untuk bekerja sebagai 'scammer' di Malaysia.

"Siasatan mendapati, sindiket ini menjalankan kegiatan phone scam menggunakan aplikasi Skype untuk menghubungi mangsa selain menyasarkan warga Jepun ," katanya pada sidang media di pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika sidang media mengenai jenayah penipuan atas talian yang semakin meningkat, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO EIZAIARI SHAMSUDIN

Menurutnya, taktik sindiket adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank sebelum menghubungi mangsa.

Sindiket kemudian memaklumkan yang mangsa berdepan masalah membabitkan akaun bank sebelum diminta memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan sindiket.

"Ketujuh-tujuh suspek direman sehingga 16 November sebelum disambung reman sehingga semalam, kini mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya.

Ramli berkata, walaupun pembabitan warga Jepun dalam kegiatan penipuan di Malaysia jarang didengar namun ia terbukti berlaku.

"Walaupun kes phone scam membabitkan warga Jepun jarang didengari namun ia tetap berlaku, ini menunjukkan sindiket ini mempelbagaikan kaedah penipuan yang digunakan.

"Orang ramai dinasihati supaya sentiasa cakna dengan taktik terkini penipuan supaya tidak menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 1:40 PM