Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia termasuk seorang daripadanya berperanan sebagai dalang utama sindiket penipuan pelaburan yang memiliki aset bernilai lebih lima bilion bath (RM657.90 juta) ditahan polis Thailand.

Suspek berusia 43 tahun dan seorang lagi rakyat Malaysia berusia 26 tahun, ditahan bersama tujuh lagi warga Thailand lain dalam beberapa siri serbuan di Sadao, Songkhla dan Bangkok.

Sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai 'Nichare' ini disyaki memperdaya lebih 50 mangsa penipuan pelaburan yang mengakibatkan kerugian 800 juta bath (RM105.26 juta).

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada masa ini JSJK sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Thailand dalam mengesan rangkaian sindiket berkenaan di negara ini.

"Berdasarkan maklumat terbaru dari polis Thailand, hasil daripada tangkapan sembilan suspek terbabit, mereka kemudian menyerbu satu pusat panggilan di Bangkok dan dipercayai menahan tiga lagi lelaki warga Malaysia dan didapati memiliki rekod jenayah lampau.

"Hasil semakan awal kita (JSJK) suspek rakyat Malaysia 42 tahun ini adalah dalang utama kegiatan penipuan pelaburan Nichare di negara ini dan Thailand.

"Ini kerana mereka didapati menggunakan jaringan penajaan penipuan yang sama dalam memerangkap secara transnational di Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Kemboja," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ramli berkata, sejak September tahun lalu sehingga 12 Mac 2024, sebanyak 70 laporan telah diterima membabitkan penipuan pelaburan Nichare dengan nilai kerugian RM14, 377,066.14 didalangi suspek terbabit.

"Daripada 70 laporan polis, JSJK sudah membuka 52 kertas siasatan selain mengenalpasti dan mengesan saki-baki rangkaian suspek di negara ini.

"Malah jalinan erat dan perkongsian maklumat antara PDRM, Polis Diraja Thailand dan Polis Antarabangsa (Interpol) dijangka dapat membanteras sindiket penipuan ini dalam masa terdekat," katanya.

RAMLI ketika sidang media mengenai statistik kes jenayah komersil, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
RAMLI ketika sidang media mengenai statistik kes jenayah komersil, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ, hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:31 PM