Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan kerugian RM333,323 selepas wang hasil penjualan rumah miliknya 'disonglap' oleh peguam dilantik bagi urusan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan itu diterima daripada mangsa berusia 60 tahun pada 19 Januari lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek (peguam) dan ejen hartanah menguruskan penjualan rumah milik pengadu sekitar Ogos tahun lalu.

"Bagaimanapun, hasil penjualan itu tidak diserahkan kepada pengadu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ramli berkata, pengadu pergi ke firma guaman itu pada Januari lalu dan dimaklumkan oleh kakitangan bahawa wang pengadu digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.

"Pada hari sama, pengadu diberikan sekeping cek bernilai RM333,323. Namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik akaun iaitu firma guaman terbabit atas sebab tidak diketahui.

"Semakan dilakukan dengan pejabat tanah mendapati rumah milik pengadu sudah dipindah milik kepada pemilik baharu," katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

RAMLI pada sidang media mengenai statistik kes jenayah komersil, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin
RAMLI pada sidang media mengenai statistik kes jenayah komersil, di Ibu Pejabat JSJK, Menara KPJ. FOTO Eizairi Shamsudin

Menurutnya, sebanyak 88 kes dilaporkan berkaitan pecah amanah jenayah dilakukan oleh peguam membabitkan kerugian berjumlah RM88.3 juta bagi tempoh 2021 hingga 2023.

"Bagi tempoh 1 hingga 24 Januari lalu, terdapat lapan kes dicatatkan dengan kerugian RM7.4 juta membabitkan kes pecah amanah jenayah oleh peguam.

"Meskipun peratusan kes dicatatkan hanya 0.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan 21,570 peguam berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia pada 2023, purata kerugian dicatatkan amat membimbangkan iaitu mencecah hampir RM1 juta bagi satu kes.

"Angka ini memberi gambaran bahawa kes pecah amanah jenayah oleh peguam tidak boleh dipandang remeh," katanya.

Justeru, beliau menggesa pembabitan Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman dilaksanakan dalam menangani isu salah laku oleh peguam.

"Pihak PDRM juga mencadangkan supaya prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang urusan transaksi akaun itu.

"Jika ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu mekanisme efektif bagi mencegah berlakunya kes pecah amanah jenayah oleh peguam sekali gus mengelakkan pengubahan wang haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:28 PM