Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: "Tolong jangan terpedaya penipuan (pelaburan) di media sosial, dah berbuih mulut kami nasihat!" Kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata, belum cukup dua bulan menginjak ke tahun baharu namun kes penipuan komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus membabitkan kerugian lebih RM558.66 juta setakat 11 Februari.

"Berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 3,530 kes dan nilai kerugian RM181.71 juta, tahun ini meningkat kepada 4,741 kes dengan nilai kerugian mencatatkan peningkatan 207.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Saya ingatkan kepada semua tuan-tuan dan puan-puan sebelum menagih minta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat, kami terlebih dulu merayu tuan, puan semua jangan mudah terpedaya," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan kemajuan teknologi masa kini banyak memberi manfaat namun kemudahan itu sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang cakna dengan isu semasa.

Katanya, orang awam diminta tidak melayan sebarang tawaran pelaburan atau panggilan telefon yang menawarkan keuntungan yang tidak masuk akal.

RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee
RAMLI menunjukkan barang rampasan ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ. FOTO Aziah Azmee

"Jangan angkat panggilan melainkan panggilan daripada pihak bank yang (anda) pernah berurusan ataupun daripada rujukan yang disahkan.

"Jangan dilayan terus, jangan angkat telefon (tak dikenali)... tak ada ruginya bila tidak angkat telefon, walaupun (kononnya) dari agensi kerajaan dan sebagainya.

"Jika mereka (agensi) berkenaan mahu berurusan dengan kita biar mereka hantar notis, tidak perlu 'pegawai' mereka menghubungi kita," katanya.

Ramli berkata, orang ramai diingatkan lebih berhati-hati ketika menekan pautan dalam talian walaupun daripada orang yang dikenali bagi mengelak menjadi mangsa perisian intip atau spyware bagi memancing data atau phishing.

"Jangan klik apa-apa pautan walaupun jemputan perkahwinan sekalipun, walaupun daripada orang yang kita kenal kerana banyak kes phishing dan sebagainya.

"Biarlah mereka hubungi kita secara terus, 'back to basic' lagi bagus kerana walaupun teknologi semakin canggih tetapi kecanggihan itu boleh bawa kerugian," katanya.

Menurutnya, beliau mengakui peringatan itu mungkin dianggap keterlaluan namun mencegah lebih baik daripada mengubati.

Katanya, pendekatan untuk tidak berinteraksi langsung apabila menerima panggilan tidak dikenali atau pautan meragukan lebih baik daripada kerugian harta dan wang ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 11:51 AM