Syaherah Mustafa

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di Kelantan mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.84 iaitu mengatasi Gred Purata Nasional (GP Nasional) dengan 0.06 mata.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Fauzi Zahari, berkata, 44 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi GPN manakala 85 sekolah menunjukkan peningkatan GPS dengan gred terbaik 1.80.

“Dua calon dari Kelantan mendapat A+ untuk semua subjek iaitu calon dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa dan SMK Kamil, Pasir Puteh.

“Terdapat 89 sekolah mengatasi peratus calon layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 89.71 peratus dan 30 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus termasuk lapan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Sejumlah 55 mata pelajaran diambil calon SPM di Kelantan yang mana 26 daripadanya mencapai 100 peratus berbanding 17 pada 2018,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan SPM 2019 di Pejabat JPN Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

FAUZI (kanan) pada Pengumuman keputusan SPM 2019. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
FAUZI (kanan) pada Pengumuman keputusan SPM 2019. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Fauzi berkata, terdapat dua sekolah yang mencapai 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Jeli dan Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al Kauthar, di Kota Bharu.

Katanya, terdapat juga seorang calon istimewa (rabun) daripada SMK Pintu Geng, Kota Bharu yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu 6A dan 3B.

“Saya mewakili warga pendidik seluruh Kelantan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang berjaya dalam SPM tahun ini.

“Bagi yang kurang berjaya, jangan berputus asa kerana mereka boleh mengulang peperiksaan SPM dengan mendaftar semula sehingga 31 Mac 2020.

“Ucapan jutaan terima kasih juga kepada semua guru dan petugas peperiksaan SPM 2019 termasuk pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah dan di JPN Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 12:55 PM