Oleh Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Jurang pencapaian akademik murid bandar dan luar bandar semakin mengecil berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 yang diumumkan hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah luar bandar mencatat Gred Purata Nasional (GPN) 2.34 manakala kawasan bandar 2.21 berbanding masing-masing 2.38 dan 2.21 tahun lalu.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian UPSR 2015.

"Ia pencapaian yang baik untuk pendidikan negara kita, jurang pencapaian akademik antara bandar dan luar bandar semakin baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara, di sini.

Sementara itu di SABAH, seramai 1,612 calon UPSR di Sabah mendapat A dalam semua mata pelajaran tahun ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 381 atau satu peratus berbanding 1,231 calon mendapat semua A dalam keputusan UPSR tahun lalu.

"Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai Tawau diiktiraf sebagai sekolah terbaik UPSR 2015 kategori Sekolah Kebangsaan dengan mencatatkan gred purata sekolah (GPS) sebanyak 1.57, diikuti SK Sri Gaya, Kota Kinabalu (1.60) dan SK Pasir Putih, Tawau (1.88).

"Sekolah luar bandar di sini juga mencatatkan peningkatan membanggakan dalam keputusan UPSR tahun ini," katanya.

Tambahnya, peningkatan itu membanggakan memandangkan kedudukan sekolah yang jauh dari kemajuan dan kemudahan turut mampu cemerlang dalam pendidikan.

Di MELAKA, Seramai 1,311 calon UPSR mencatatkan keputusan cemerlang semua A di negeri ini.

Keputusan itu dicatatkan daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan seramai 13, 372 calon.

Pengarah Pendidikan negeri Abu Bakar Sahari berkata, dengan pencapaian calon pada 2015 ia menjadikan Melaka kekal antara negeri yang terbaik dalam tempoh 10 tahun dalam pencapaian keseluruhan UPSR.

"Bagi Gred Purata Negeri (GPN), Melaka mencatatkan 2.16 berbanding tahun lalu 2.15 selain Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) turut meningkat.

"Sebanyak empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Siput, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pondok Batang, SJKC Kemendor dan SJKC Pay Min berjaya memperoleh keputusan 100 peratus lulus berbanding hanya dua sekolah tahun lalu," katanya selepas Majlis Pembentangan Analisis Keputusan UPSR, di sini, hari ini.

Di SELANGOR, Seramai 7,354 calon UPSR bagi seluruh Selangor mendapat keputusan 5A dari Sekolah Kebangsaan (SK) dan 7A Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Zainuren Mohd Nor berkata, keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan 1.15 peratus atau pertambahan 761 calon mendapat keputusan 5A.

"Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah bilangan pelajar tahun ini, Selangor bagaimanapun mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 2.23 berbanding 2.22 pada tahun lalu.

"Seramai 82,969 calon mendaftar bagi menduduki UPSR 2015 berbanding 85,392 tahun lalu," katanya.

Di TERENGGANU, seramai 2,558 daripada 20,121 calon UPSR mendapat 5A/7A di Terengganu.

Pengarah Pendidikan Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata, pencapaian keseluruhan calon UPSR pada tahun ini meningkat kepada 2.10 berbanding 2.15 mata Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun lalu.

"Ini adalah GPN terbaik pernah dicapai di negeri ini apabila mencatatkan peningkatan 0.05 peratus.

"Seramai 20,700 murid (19,867 murid Sekolah Kebangsaan dan seramai 365 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mengambil UPSR pada tahun ini.

"Dua calon murid Calon Berkeperluan Khas (CBK) terdiri daripada seorang murid perempuan yang cacat jari tangan dari Sekolah Kebangsaan Maras, Kuala Terengganu dan murid lelaki dari Sekolah Kebangsaan Kerteh, Kemaman yang mengalami gangguan saraf mendapat keputusan cemerlang daripada 192 jumlah keseluruhan murid CBK di negeri ini," katanya pada sidang media di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Seramai 1,806 calon UPSR berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran daripada 17,390 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Pkharuddin Ghazali berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian cemerlang itu adalah sama berbanding tahun lalu iaitu 10.5 peratus.

"Peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum kompetensi (mendapat sekurang-kurangnya gred C) dalam keseluruhan mata pelajaran adalah 68.7 peratus iaitu menurun sebanyak 1.8 peratus berbanding 70.5 peratus pada 2014.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas) muncul sekolah terbaik pencapaian UPSR 2015 di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, calon sekolah FELDA di negeri ini menunjukkan prestasi semakin baik dengan peningkatan dalam peratusan calon cemerlang daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus pada tahun ini dan nilai gred puratanya daripada 2.16 kepada 2.15.

Di PERLIS, Seramai 346 calon UPSR berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran daripada 4018 calon yang menduduki UPSR di Perlis.

Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Roslee Ismail berkata, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun ini adalah sebanyak 2.32 peratus dan menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

"Pencapaian UPSR pada tahun ini menunjukkan penibgkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 2.41 peratus sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan analisis keputusan UPSR di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, di sini, sebentar tadi.

Tambahnya lagi, calon yang menguasai UPSR dengan sekurang-kurangnya mendapat pencapaian minimum gred C dalam keseluruhan mata pelajaran adalah sebanyak 2597 atau atau 66.45 peratus berbanding pada tahun lalu iaitu sebanyak 2577 calon atau 63.96 peratus.

"Sebanyak 11 sekolah di Perlis mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) di bawah 2.00 peratus dan SRK Seri Indera Kangar diisytiharkan sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian UPSR di negeri ini apabila 41 daripada 133 calon mendapat keputusan 5A," katanya.

Di KEDAH, seramai 2,978 calon UPSR memperoleh keputusan cemerlang A dalam semua subjek iaitu 9.08 peratus daripada jumlah keseluruhan 32,784 calon.

Keputusan itu dibacakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Datin Azuyah Hassan di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Puan Sharifah Hanifah, Nai Teh, di sini, hari ini.

Jumlah kelulusan berkenaan bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 0.29 peratus iaitu 67.84 peratus berbanding tahun 2014 sebanyak 68.13 peratus.

Seramai 33,626 calon mengambil UPSR pada tahun ini di 571 pusat peperiksaan dengan 411 sekolah mencatatkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat A dalam semua subjek.

"Bagaimanapun, pencapaian dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) bagi tahun 2015 ialah 2.24 berbanding 2.29 pada 2014 iaitu mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 2.27, manakala sebanyak lapan sekolah mencapai GPS terbaik iaitu 1.55.

"Sebanyak 239 sekolah mencatat pencapaian GPS lebih baik daripada pencapaian negeri tahun ini (GPN 2.24), manakala 108 sekolah pula berjaya mencapai tahap cemerlang iaitu GPS kurang daripada 2.0," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Seramai 1,828 calon UPSR mendapat semua A pada tahun ini, meningkat 0.84 peratus berbanding 7.97 peratus pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Zon Sentul Juhair Mondakir berkata, antara sekolah yang mendapat calon semua A ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail 1 dengan 77 calon, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Nam 45, SK Setiawangsa 82 dan SJKC Convent 1 Bukit Nenas 29.

"Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi kategori SK di Kuala Lumpur pula merosot 0.06 mata daripada 2.54 pada 2014 kepada 2.48 pada tahun ini.

Manakala bagi Sekolah Kebangsaan Jenis (SJK) pula meningkat 0.06 mata daripada 2.54 pada 2014 kepada 2.48 pada tahun ini," katanya pada sidang media di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Juahir berkata, bagi mata pelajaran lain pula mencatatkan peningkatan bagi semua calon yang mengambil UPSR di Kuala Lumpur.

Di PULAU PINANG, Seramai 2,430 calon UPSR memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran diambil mereka.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Shaari Osman berkata, daripada 22,628 calon yang menduduki UPSR pada tahun ini seramai 15,354 murid memperoleh tahap pencapaian minimum iaitu mendapat sekurang-kurangnya C.

"Jumlah murid yang mendapat semua A dalam mata pelajaran pada tahun ini meningkat berbanding 2,335 pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, peningkatan keputusan cemerlang ini adalah hasil kerja keras pihak Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan pihak sekolah yang tidak berputus asa memberi latihan dan didikan kepada pelajar.

Selain itu katanya, 10 sekolah mencatatkan keputusan cemerlang termasuk dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) manakala selebihnya Sekolah Kebangsaan (SK).

Di PERAK, seramai 2,929 calon UPSR berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki dengan peningkatan sebanyak 0.74 peratus iaitu meningkat daripada 7.60 peratus pada 2014 kepada 8.34 peratus tahun ini.

Pengarah Pendidikan Perak, Rozi Puteh Ismail berkata, walaupun berlaku peningkatan bagi calon yang mendapat pencapaian cemerlang namun berlaku sedikit penurunan peratusan calon mendapat pencapaian menguasai Gred A,B dan C iaitu penurunan sebanyak 0.69 peratus iaitu daripada 65.19 peratus tahun lalu kepada 64.50 peratus tahun ini.

"Peratusan calon yang menguasai minimum gred C di bandar dan luar bandar turut menunjukkan sedikit penurunan masing-masing sebanyak 1.04 peratus dan 0.4 peratus.

"Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun ini sedikit meningkat iaitu daripada 2.31 peratus tahun lalu kepada 2.30 peratus tahun ini," katanya.

Di SARAWAK, Seramai 1,998 calon UPSR berjaya memperoleh A bagi semua mata pelajaran tahun ini, meningkat 136 calon berbanding 1,862 calon yang memperoleh pencapaian sama tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon berkata, secara keseluruhannya, seramai 24,315 atau 59 peratus daripada 41,199 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan berjaya mencatat sekurang-kurangnya penguasaan minimum gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Daripada 1,998 calon yang memperoleh semua A, seramai 1,530 calon adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK), manakala 468 calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun ini juga bertambah baik iaitu 2.48, berbanding 2.52 tahun lalu.

"Selain itu, 124 sekolah mencatat pencapaian kelulusan 100 peratus dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran membabitkan 121 SK dan tiga SJKC," katanya ketika mengumumkan keputusan pencapaian UPSR di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di sini, sebentar tadi.

Di PAHANG, seramai 2,439 calon UPSR memperoleh A dalam semua mata pelajaran dan jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.04 peratus berbanding tahun lalu, kata Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail.

Di KELANTAN, jumlah calon UPSR memperoleh semua A meningkat 0.45 peratus berbanding tahun lalu. Ia membabitkan 3,527 calon daripada 30,129 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 3:46 PM
PELAJAR sekolah yang memperolehi 5A bersorak selepas menerima Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di Sekolah Kebangsaan Raja Muda (Integrasi), Seksyen 4, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
PELAJAR sekolah yang memperolehi 5A bersorak selepas menerima Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di Sekolah Kebangsaan Raja Muda (Integrasi), Seksyen 4, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
MURID yang memperolehi 5A mencium pipi ibu masing-masing, (dari depan, kiri), Muhammad Zikry Halim, 12, dan ibu, Nik Zawati Raja Majid, 41; (tengah), Syazwan Haqeem Sabri, 12 dan ibu Aniza Kamaruddin, 40 dan (belakang sekali), Afzar Bukhari Raidi, 12 dan ibu, Suzana Bakar, 40, selepas menerima keputusan di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
MURID yang memperolehi 5A mencium pipi ibu masing-masing, (dari depan, kiri), Muhammad Zikry Halim, 12, dan ibu, Nik Zawati Raja Majid, 41; (tengah), Syazwan Haqeem Sabri, 12 dan ibu Aniza Kamaruddin, 40 dan (belakang sekali), Afzar Bukhari Raidi, 12 dan ibu, Suzana Bakar, 40, selepas menerima keputusan di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias