ISTERI Allahyarham (kanan) sedang ditenangkan oleh isteri Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datin Seri Junaida Ahmad.
ISTERI Allahyarham (kanan) sedang ditenangkan oleh isteri Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datin Seri Junaida Ahmad.
Husain Jahit


Makkah: Seorang lagi jemaah haji lelaki berusia 58 tahun, dari Alor Setar, Kedah meninggal dunia di sini, selepas terjatuh akibat serangan jantung ketika melakukan tawaf umrah pertama pada malam Rabu lalu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semasa kejadian Allahyarham Mohd Zahir Ismail dari Maktab 78 dilaporkan sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama isteri dan jemaah dari maktab yang sama sebelum tiba-tiba rebah di mataf.

"Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan ada kematian kedua yang mana kita telah kehilangan seorang jemaah haji lelaki.

"Allahyarham adalah daripada KT66 yang baru sampai di Makkah pada 29 Mei dan pada waktu malam. Selepas Isya kita anjurkan mereka semua laksanakan umrah pertama dan beliau didapati terjatuh akibat serangan jantung di tempat tawaf," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, semalam.

Beliau berkata, Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke kinik yang terletak di dalam Masjidil Haram sebelum dikejarkan ke Hospital Arab Saudi, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, semalam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.

Syed Salleh berkata, petugas kebajikan TH, kaunselor serta pembimbing ibadat dan pakar rujuk juga telah menziarahi isteri Allahyarham bagi memberi bantuan sewajarnya.

"Bagi pihak TH, saya ingin mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadatnya diterima Allah SWT," katanya.

Sebelum ini, kematian pertama membabitkan jemaah haji di Makkah ialah jemaah dari Kubang Pasu, Kedah Allahyarham Abnil Hajar Ismail, 72 yang meninggal dunia akibat pembuluh darah pecah pada pada 24 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 3:58 PM