UMAT Islam di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
UMAT Islam di Masjidilharam, Makkah. FOTO AFP
Husain Jahit


Makkah: Berbaki kurang 24 jam saja lagi, debaran menanti hari wukuf iaitu hari kemuncak kepada ibadah haji kian dirasai oleh bukan sahaja 31,600 jemaah haji Malaysia, tetapi juga lebih dua juta umat Islam yang menjadi Duyufurrahman untuk musim 1445H/2024.

Perjalanan dijangka bermula seawal 6 pagi esok menuju ke Masyair untuk melakukan ibadah wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di ketiga-tiga jamrah bermula 9 Zulhijah (15 Jun) sehingga 12 Zulhijah (18 Jun) bukan sahaja memerlukan persediaan rapi dari segi juga rohani, fizikal serta mental.

Ini ditambah lagi dengan suhu semasa hari wukuf yang dijangka akan mencecah antara 45 hingga 50 darjah Celsius akan menambahkan lagi cabaran untuk jemaah haji tahun ini.

Tinjauan ke bilik penginapan jemaah mendapati, masing-masing mula mengemas barangan yang perlu dibawa untuk Masyair mengikut saranan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk pakaian dan barangan penjagaan diri untuk dimuatkan di dalam satu beg sahaja berikutan ruangan yang terhad dalam khemah semasa di Arafah dan Mina.

Bagi Khairul Amir Jamal, 40, dari Ipoh, Perak, menjelang hari wukuf pada Sabtu ini, dia membuat persiapan peralatan dan pakaian berdasarkan panduan yang diberikan oleh TH dan mengurangkan aktiviti luar untuk menjaga kesihatan.

"Sejak dua tiga hari lalu, semakin ramai jemaah Malaysia yang mengalami batuk, demam serta selesema dan jika kita lihat jemaah dari negara lain juga semakin ramai. Jadi sebagai persediaan kesihatan, saya mula kurangkan aktiviti luar terutama siang sebab cuaca panas.

"Saya lebih tumpukan aktiviti ibadah di lokasi penginapan dan kalau hendak ke masjid pun, saya pergi pada waktu malam sebab cuaca lebih sejuk ditambah lagi sekarang pada waktu siang banyak laluan ke masjid ditutup dan memerlukan kita berjalan jauh. Ini akan jejaskan kesihatan," katanya.

Nurul Akmal Nazian, 38, dari Ipoh, Perak, pula tidak menafikan perasaan berdebar menanti hari wukuf ditambah lagi selepas mendengar pengalaman daripada jemaah haji sebelum ini.

"Saya mendengar daripada rakan-rakan yang menyatakan waktu berada di Arafah adalah waktu yang paling mencabar, namun saya melakukan persiapan dengan mengkaji daripada pengalaman rakan-rakan, kumpulan jemaah haji di media sosial selain banyak berdoa supaya urusan di Masyair dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Maktab 79, Al 'Amin Jaminon berkata, sebagai persediaan jemaah di Arafah, pihak TH turut menyediakan batu untuk melontar di jamrah, payung dan pelekat untuk memudahkan jemaah mengenal pasti maktab yang diduduki.

"Kita sudah mula mengedarkan kesemua barangan ini ke bilik jemaah secara berperingkat. Pada masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan jemaah dengan berbaki masa yang kurang 24 jam ini supaya mengurangkan perjalanan ke luar.

"Banyakkan rehat di bilik serta banyakkan minum air kerana suasana di Arafah sangat mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:57 AM