Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengabaikan kebajikan murid tahun lima yang diserang strok haba selepas dipaksa berdiri di bawah sinaran matahari.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kebajikan kanak-kanak itu akan menjadi keutamaan pihaknya.

"Dia memang sudah pun berada dalam kebajikan kita.

"Maknanya anak murid ini adalah murid KPM yang kita akan beri perhatian dan maknanya kita akan pastikan kebajikannya terjaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF) di Pusat Sains Negara di sini, hari ini.

Semalam, KPM berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kanak-kanak berkenaan diserang strok haba selepas dipaksa seorang guru berdiri di bawah sinaran matahari.

Fadhlina dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.

Rabu lalu, media melaporkan, murid darjah lima yang mengalami strok haba didakwa kesan daripada denda berjemur di padang sebuah sekolah di Ampang pada 30 April lalu, akan dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ibunya, AD Mogahana Selvi, 35, berkata, pihak Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai OKU akibat masalah kesihatan dialami.

Difahamkan kanak-kanak itu masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba dialami.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 5:58 PM