GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang anggota tentera berpangkat koperal dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas tuduhan mencabul kehormatan remaja perempuan, tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zuhaimi Mat Saad,44, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencabul kehormatan seorang perempuan berusia 19 tahun di dalam kereta di pakir berdekatan Cheng, di sini, pada jam 12.30 tengah malam, 17 Mei 2023.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan ataupun dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Berikutan tertuduh tidak mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon tarikh sebutan baru serta mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh yang juga duda anak dua masih bertugas dan kini tinggal di Kem Sungai Udang.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 Julai depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret 3, seorang lelaki warga Sri Lanka, Waruna Chintaka Jaya Sundara, 29, didakwa atas kesalahan sama iaitu mencabul kehormatan wanita tempatan dengan cara memeluk dari arah belakang badan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tandas sebuah hotel di Ayer Keroh pada 18 Mei lalu, kira-kira jam 2.30 petang.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan dibacakan dan diterangkan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa, biarpun dia meminta dibacakan dalam bahasa berkenaan pada mulanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:45 PM