MOHD Zulkarnain (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul dua penuntut lelaki sebuah universiti awam bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MOHD Zulkarnain (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul dua penuntut lelaki sebuah universiti awam bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang perunding motivasi dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di negeri ini, bulan lalu.

Mohd Zulkarnain Atan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang masih bujang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pelajar lelaki masing-masing berusia 21 tahun dengan mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di bilik sebuah rumah di Ayer Keroh di sini, pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 12 tengah malam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang merayu sendiri memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia hanya bekerja sebagai perunding motivasi selain mengalami gilinciran cakera pada tulang belakang (Slipped Intervertebral Disc) dan turut menjalani rawatan mental.

Mahkamah, kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 2:43 PM