FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas empat pertuduhan mencabul kehormatan rakan selnya, dua tahun lalu.

A Sitambarasan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan dalam prosiding didengar Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa berusia 24 tahun di Blok Damai, Penjara Sungai Udang, pada 8, 9, 10 dan 12 Oktober 2022 antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi.

Semua kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh berada dalam reman bagi perbicaraan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 28 Jun depan untuk serahan dokumen dan melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 5:16 PM