AKSI spontan guru Pendidikan Khas SK Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, Suhaili Abu Bakar ketika PdPR.
AKSI spontan guru Pendidikan Khas SK Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, Suhaili Abu Bakar ketika PdPR.
Suliati Asri


MEMPERKASA dan meningkatkan kemahiran guru antara perkara yang paling penting dalam memastikan pendidikan berkualiti disampaikan dalam apa juga pendekatan terutama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Google Malaysia bekerjasama melatih sehingga 5,000 guru sekolah kebangsaan untuk menjadi pendidik mempunyai Pensijilan Google yang juga sebahagian daripada Program Pensijilan DELIMa.

Google Malaysia menyokong KPM dalam menjadikan program DELIMa sebagai satu program pembelajaran digital rasmi sejak 2019 sekali gus menjadikan Malaysia salah satu pengguna aktif tertinggi dalam kalangan murid dan pendidik di rantau ini.

Program Pendidik Pensijilan Google ini juga menawarkan penguasaan pendidik dalam penggunaan produk dan alat Google yang menyokong pengalaman bilik darjah yang kuat serta hasil pelajar.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Maznah Abu Bakar dalam ucapannya berkata, program-program itu bertujuan untuk menjangkau guru-guru yang mungkin tidak mempunyai peluang latihan dan untuk menyokong pendidik dalam era pembelajaran digital dan bilik darjah maya.

"Menyokong, membolehkan dan memperkasakan guru adalah penting dalam landskap digital ini di mana guru diperlukan untuk memimpin, bekerjasama dan menyematkan perubahan di sekolah mereka.

"Melalui perubahan ini, kami boleh memastikan pelajar Malaysia berkompeten secara digital untuk menghadapi norma baharu persekolahan dan pekerjaan pada abad ke-21," katanya.

Terbaharu, Google Malaysia menganjurkan satu sesi perbincangan maya bertajuk Guru Pemangkin Transformasi Pendidikan yang menampilkan empat ahli panel mengetengahkan perspektif mereka mengenai pembelajaran digital dan keperluan Pensijilan Google yang dikendalikan pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir.

BARISAN panel yang berkongsi bagaimana Program Pendidikan Pensijilan Google membantu menambahbaik PdPR secara dalam talian.
BARISAN panel yang berkongsi bagaimana Program Pendidikan Pensijilan Google membantu menambahbaik PdPR secara dalam talian.

Sesi perkongsian itu mengetengahkan pelbagai perspektif yang dikongsi bersama pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Sarawak Derosita Chok Mung Na, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah, Mukah, Sarawak, Muhammad Nuaim Bahron, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan, Nur Aimi Ramli dan guru di SMK Tinggi Klang Shahrun Niza Sofian yang juga guru yang mempunyai pensijilan Google for Education.

Sebagai pendidik yang mempunyai Pensijilan Google, Nur Aimi merasakan dirinya kini lebih fleksibel dalam pendekatannya terhadap pelajaran maya.

KEMAHIRAN memetik gitar yang dimiliki seorang guru, Mohd Basyir Baharudin, 34,  sebelum memulakan sesi PdPR menarik perhatian pelajarnya.
KEMAHIRAN memetik gitar yang dimiliki seorang guru, Mohd Basyir Baharudin, 34, sebelum memulakan sesi PdPR menarik perhatian pelajarnya.

Menurutnya, program ini juga mendedahkannya kepada pelbagai sumber yang boleh digunakan secara interaktif dan bahan pembelajaran itu juga boleh digunakan banyak kali.

"Kini saya boleh membuat bahan yang diperibadikan dan sesuai mengikut keperluan serta tahap kecekapan pelajar.

"Tidak seperti pendekatan bilik darjah konvensional, guru kini dapat memperluas bahan pengajaran di luar buku teks standard untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar," katanya.

Selain itu, menurut Nur Aimi, dengan kemahiran dalam mengendalikan platform program ini juga menjadikan interaksi dalam talian lebih berkesan dengan muridnya.

"Platform ini mudah digunakan dan kita sebagai guru perlu berani mencuba dan banyak pendedahan.

"Menerusi pembelajaran dalam talian, dari pemerhatian saya, pelajar yang senyap di bilik darjah lebih berani dan lantang bercakap.

"Pelajar juga boleh belajar banyak benda. Keadaan ini membolehkan pelajar meneroka peluang lain untuk mengem

bangkan diri mereka dari segi pendidikan dan juga peribadi mereka sendiri," katanya.

KOMUNIKASI  dua hala antara dua guru ini dengan pelajarnya ketika pembelajaran dalam talian
KOMUNIKASI dua hala antara dua guru ini dengan pelajarnya ketika pembelajaran dalam talian

Berkongsi mengenai inspirasi dan motivasi untuk menjadi seorang Pensijilan Google, Nur Aimi berkata, sebagai guru di sekolah luar bandar, untuk menyertai kursus seperti Pensijilan Google secara fizikal memerlukan belanja yang besar kerana jarak sekolah ke bandar utama yang menjadi pusat kursus.

"Program ini adalah peluang untuk saya mengembangkan lagi kemahiran.

"Pensijilan Google ini juga saya lihat sebagai penghargaan untuk guru lebih mahir dalam menggunakan aplikasi Google sekali gus membantu meningkatkan kebolehan saya menguruskan data serta kaedah pembelajaran untuk murid-murid.

"Justeru, saya menyarankan kepada guru-guru di luar sana untuk menyertai program yang sememangnya bersesuaian dan membantu dalam proses PdPR yang dilaksanakan secara dalam talian ini," katanya.

Mengulas mengenai pembabitan pelajar dalam PdPR yang dilaksanakan secara dalam talian, kata Shahrun Niza, komunikasi berterusan dengan pelajar adalah penting dan ia boleh dicapai melalui sesi individu yang dicatat dalam Google Calendar.

Menurutnya, sesi itu membantunya memerhati kemajuan perkembangan pelajar, sekali gus membolehkannya mengenal pasti bahagian-bahagian pelajarannya yang boleh ditambah baik.

"Pendedahan saya kepada Google Classroom di DELIMa membenarkan saya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan cara yang sederhana dan berkesan.

"Alat-alat yang terdapat dalam platform ini juga yang mudah dipelajari dan digunakan seterusnya membolehkan guru melaksanakan dasar-dasar pendidikan dengan mudah di dalam kelas maya," katanya.

Ditanya bagaimana menjadikan interaksi dalam talian lebih berkesan dengan murid, Shahrun Niza menjelaskan perkara pertama apabila bermulanya pembelajaran secara maya dan cabaran yang dihadapi kebanyakan guru adalah semua murid mahu bercakap serentak.

"Kini, aplikasi Google Meet mempunyai satu fungsi di mana kita boleh meletakkan pembesar suara murid dalam keadaan senyap (mute). Jadi, itu satu kelebihan, senang dan tidak mengganggu pembelajaran.

"Dalam platform DELIMa juga ia mudah kerana pelajar boleh berdikari. Murid tidak terhad kepada sekolah saja. Mereka mempunyai kebebasan untuk merujuk kepada banyak lagi sumber lain sekali gus memupuk pembelajaran kendiri," katanya.

"Beberapa pelajar juga ada yang memberi pendapat mereka suka belajar di rumah sebenarnya sebab mereka ada banyak masa untuk belajar, jimat masa untuk pergi dan balik dari sekolah serta bebas untuk belajar mengikut kesesuaian mereka," tambahnya.

Sebagai guru ICT di sekolah, Muhammad Nuaim mengakui adalah penting baginya untuk sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai aplikasi dan platform digital yang ada pada masa kini.

Justeru, katanya memiliki sijil pengiktirafan daripada Google ini adalah satu cara menu

njukkan usahanya menambah baik pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus membolehkannya berkongsi semua kemahiran terbabit kepada rakan dan murid-murid di sekolah.

"Pensijilan ini juga akan memberikan peluang kepada saya untuk menambahkan pengetahuan sedia ada terutama apa yang terdapat dalam Program DELIMa itu sendiri.

"Pensijilan ini juga membolehkan saya membantu murid-murid menggunakannya dalam waktu yang mencabar ini terutama aplikasi di bawah Google Classroom.

Muhammad Nuaim berkata, selain daripada manfaat kepada pendidik dan pelajar, pembelajarannya dalam program itu juga dapat diterapkan dalam aspek lain seperti membantu kerja-kerja pentadbiran sekolah serta mendidik ibu bapa.

"Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab atas pasukan HIPPO Olympiad Bahasa Inggeris Antarabangsa sekolah, saya gembira kerana saya boleh mengekalkan pembelajaran secara konsisten melatih pelajar dan juga melaporkan kemajuan mereka kepada pengetua sekolah ketika pandemik ini.

"Saya juga gembira kerana usaha saya ini dapat dilihat guru-guru lain sekali gus menerima permintaan daripada guru sekolah lain untuk membantu dan membimbing usaha digital mereka," katanya.

Bagi Derosita pula, Pensijilan Google meningkatkan keyakinannya untuk membimbing.

Menurutnya, tugas sebagai pegawai di pejabat daerah sedikit berbeza dengan guru yang mengajar di dalam kelas.

"Sebelum mempunyai Pensijilan Google, saya hanya melatih pendidik yang berada di daerah Kuching sahaja untuk membiasakan diri dengan aplikasi berkaitan dengan Google.

"Tetapi selepas mendapat sijil itu, saya terdorong dan berasa yakin untuk memperluaskan latihannya dan kini latihan dijalankan di seluruh Negara.

"Program pensijilan ini juga membekalkan saya dengan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai aplikasi dan platform digital untuk membimbing guru-guru lain dalam penggunaan aplikasi yang berkaitan dengan Google,"

katanya.

"Saya berharap dengan usaha ini, lebih ramai rakan-rakan guru berminat untuk mengikuti program ini. Saya percaya dengan program DELIMa dan berharap rakan pengajar dapat biasakan diri dengan platform digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:00 AM