GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jurulatih wushu berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet di bawah kendaliannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 9 hingga 11 Februari lalu di rumah jurulatih terbabit.

Menurutnya, mangsa didatangi suspek yang kemudian melakukan gangguan seksual atas alasan gagal mematuhi arahan.

"Mangsa diugut suspek jika memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya.

"Mangsa bagaimanapun menceritakan kejadian menimpanya itu kepada ayahnya iaitu pengadu. Pengadu segera membawa mangsa ke balai dan membuat laporan polis 10 Mei lalu. Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kajang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan itu, pihaknya menahan jurulatih terbabit di rumahnya di Taman Kajang Mewah, 11 Mei lalu.

"Suspek kini dalam reman polis sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Noriyati Abdullah di talian 016-3516908," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 10:01 PM