Hadzlihady Hassan


SIANG tak jual, malam baru jual. Itu taktik dilakukan segelintir pemilik kedai runcit yang menjual rokok seludup kepada pelanggan ketika malam.

Mereka beranggapan menjual rokok seludup ketika malam lebih selamat kerana pihak berkuasa tidak akan melakukan operasi.

Malah, ada juga pemilik kedai runcit yang menjual rokok seludup terbabit secara dalam talian kepada pelanggan bagi mengelak daripada dikesan dan dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan terbabit terbongkar apabila tiga kedai runcit di Taman Pauh Indah di Bukit Mertajam, diserbu sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, malam tadi.

Dalam Op Bersepadu Rokok dan Minuman Keras (RMK) bersama Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIMPP) itu sebanyak tiga karton rokok seludup dirampas dan sembilan lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen dan permit yang sah.

ROKOK tidak sah pelbagai jenama yang dirampas JKDM Pulau Pinang semasa Operasi Bersepadu bersama JIMPP, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di premis barangan runcit di Taman Pauh Indah. FOTO Danial Saad
ROKOK tidak sah pelbagai jenama yang dirampas JKDM Pulau Pinang semasa Operasi Bersepadu bersama JIMPP, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di premis barangan runcit di Taman Pauh Indah. FOTO Danial Saad

Pengarah Kastam negeri, Datuk Saidi Ismail berkata, pihaknya mendapati pemilik kedai runcit terbabit menggunakan taktik dengan hanya menjual rokok seludup ketika malam.

“Rokok seludup itu hanya dijual bermula 7 malam selain mereka turut menghantar pesanan secara online (dalam talian).

“Pelanggan juga akan menghubungi pekerja sebelum datang membeli rokok seludup berkenaan ketika malam, namun mereka tidak tahu yang kastam bekerja 24 jam,” katanya yang ditemui selepas operasi di lokasi serbuan, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Penolong Pengarah JIMPP, Izham Idris.

Saidi berkata, bagi tempoh tiga bulan bermula 9 Januari hingga 2 April lalu lebih 100, 000 kotak rokok seludup bernilai kira-kira RM130,000 membabitkan cukai lebih RM800,000 berjaya dirampas pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:38 AM