Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Taktik menggunakan rumah kampung sebagai tempat menyembunyikan barang seludup gagal apabila tiga lori berisi minuman keras berjaya dirampas pada 24 Ogos lalu.

Dalam operasi jam 8 malam itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM619,299.84 termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu JKDM Sabah dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Tamparuli, Togop.

Katanya, hasil serbuan mendapati tiga lori jenis tiga tan yang menyimpan keseluruhan 31,775.04 liter minuman keras diletakkan di perkarangan rumah kampung.

"Pemeriksaan mendapati semua minuman keras pelbagai jenama itu disyaki bernilai RM123,450 manakala anggaran duti dan cukai yang terbabit ialah RM495,849.

"Ketika serbuan dibuat, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana rumah dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni," katanya pada sidang media di Bahagian Penguatkuasan JKDM, di sini, hari ini.

YU Min (dua kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas di sebuah rumah di Jalan Tamparuli. FOTO Juwan Riduan
YU Min (dua kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas di sebuah rumah di Jalan Tamparuli. FOTO Juwan Riduan

Yu Min berkata, pasukan serbuan terpaksa memecah masuk rumah untuk melakukan pemeriksaan lanjut sebelum ketiga-tiga lori berkenaan dirampas dan dibawa balik untuk siasatan lanjut.

Katanya, modus operandi digunakan ialah menyimpan barang seludup di rumah yang dijadikan sebagai transit sebelum pengedaran dilakukan dengan menggunakan lori bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"JKDM Sabah komited dalam menangani sebarang aktiviti membabitkan penyeludupan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Yu Min berkata, orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan negara tetapi mendatangkan ancaman keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

"Pihak JKDM memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 3:57 PM