GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nazarali Saeril

Tetak, tembak selain belasah isteri. Ia bukan fenomena baru di Malaysia, malah ia umpama trend dalam kalangan individu tertentu untuk melepaskan kemarahan, dendam atau sebagainya kepada insan tersayang.

Bagaimana ia boleh berlaku? Adakah masyarakat kita semakin resah? Adakah kita gagal berasimilasi dengan insan sekeliling atau adakah perkara jahat ini datang daripada fikiran yang bercelaru?

Ikuti wawancara Konsultan Psikiatri & Psikoterapi, Klinik Pakar Alaminda, Shah Alam, Selangor merangkap Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia DR HAZLI ZAKARIA bersama Pengarang Berita Harian Metro NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

DR Hazli. FOTO Arkib NSTP
DR Hazli. FOTO Arkib NSTP

Cemburu hingga membunuh, cuba bunuh diri dan cederakan diri sendiri. Adakah ia berkaitan dengan isu kesihatan mental?

Ringkasnya, iya, apabila kita berbicara tentang isu kesihatan mental, penumpuannya masih pada tahap rawatan untuk mereka yang sudah sakit.

Semakin banyak usaha dilakukan oleh pelbagai pihak untuk kita physically fit.

Bagaimanapun, apakah yang kita boleh lakukan untuk mentally fit?

Walaupun takrifan sihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangkumi sihat fizikal, mental dan sosial, tetapi kesihatan mental tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

Kes keganasan rumah tangga, kes mencederakan diri sendiri, cubaan membunuh diri memang berkaitan dengan masalah kesihatan mental dan mungkin ada kaitan dengan penyakit mental secara langsung atau tidak langsung.

Apa yang kita lihat sekarang, pertambahan kes yang berlaku menunjukkan tahap kesihatan mental semakin terancam.

Melihat ke belakang, ada kes pembunuhan dilakukan oleh individu tersayang dan paling rapat dengan mangsa seperti suami?

Apabila berlaku pembunuhan atau keganasan fizikal membabitkan orang tersayang dan mereka yang rapat dengan mangsa, selalunya pelaku itu terus dikatakan mengalami penyakit mental.

Secara tidak langsung, ia memberi gambaran penghidap penyakit mental itu seorang yang berbahaya kerana boleh bertindak ganas, di luar kawalan dan perbuatan itu berlaku tanpa dapat dijangka.

Ini fakta tidak tepat. Majoriti mereka yang ada penyakit mental tidak ganas berbanding dengan mereka yang tidak berpenyakit.

Hanya sebilangan kecil ada risiko, tetapi selalunya disebabkan mereka masih ada simptom penyakit kerana tidak pernah mendapat rawatan atau rawatan tidak optimum.

Memang ada diagnosis tertentu mempunyai risiko yang lebih tinggi. Malangnya semua yang menghidap penyakit mental itu dianggap sama walaupun diagnosisnya berbeza.

Isu kesihatan mental mungkin ada dalam diri setiap individu, bagaimana mahu mengesannya daripada awal dan bagaimana untuk mencegahnya daripada menjadi semakin parah?

Mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat.

Setiap daripada kita perlu tahu bagaimana mengesan sekiranya mental kita sudah tidak sihat, belum sampai tahap penyakit, tahap sudah tidak sihat pun kita patut sudah dapat kesan.

Ketika itu, baru kita boleh mengelakkan diri daripada menghidap penyakit mental. Maksudnya, kita perlu beri perhatian apabila kita sudah mengalami gejala tertekan.

Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengurangkan tahap tekanan. Apa yang berlaku ialah kita sering abai gejala terbabit.

Contoh, apabila tidur kita terganggu, badan cepat penat walaupun tidak buat banyak kerja, mudah terasa dan terlalu sensitif, tidak dapat menumpukan perhatian seperti selalu. Itu antara gejalanya dan kalau ia berterusan, ia perlu diberikan perhatian lebih serius.

Sekiranya sudah mengganggu fungsi seharian, kita perlu berjumpa doktor, pastikan tiada faktor fizikal menyumbang dan sekiranya masih berterusan, rujuk pakar yang boleh mengesahkan diagnosis, pakar psikiatri atau klinikal psikologi.

Disebabkan stigma dan takut ia boleh menjejaskan karier, ramai yang menunggu sehingga keadaan menjadi teruk.

Ketika itu, baru mereka cari doktor atau pakar untuk pemeriksaan.

Paling membimbangkan, isu kesihatan mental turut membabitkan remaja yang bakal memimpin negara.

Ia perkara yang betul. Ia memang membimbangkan apabila melihat cabaran yang dilalui remaja sekarang.

Media sosial juga boleh menambah lagi tekanan yang mereka alami.

Fenomena fear of missing out, pertandingan mencari populariti, kurangnya semangat setiakawan dan muafakat, ikatan kekeluargaan yang semakin longgar, ia semua antara faktor yang menyumbang kepada kesihatan mental.

Dahulu, bersukan itu bukan saja kegiatan riadah, malah ia membentuk semangat kesukanan dan belajar menerima kekalahan serta kekecewaan secara berhemah.

Kini, sukan menjadi antara sumber pendapatan dan status.

Kalau dahulu, saudara terdekat menjadi platform remaja berkongsi masalah dan meminta pendapat apabila ada perselisihan faham dengan ibu bapa selain rakan sebaya.

Kini, sokongan diterima makin berkurangan, sebaliknya cabaran perlu dihadapi disebabkan persaingan yang semakin kuat untuk menonjolkan diri.

Hasil kajian National Morbidity Survey 2016 menunjukkan, kategori umur mempunyai peratusan tertinggi dalam masalah kesihatan mental adalah remaja. Golongan ini berjumlah 29.3 peratus.

Pada masa sama, yang melegakan juga, golongan remaja sekarang lebih terbuka tentang kesihatan mental dibandingkan ibu bapa mereka.

Punca isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat?

Setiap daripada kita berisiko mengalaminya, tetapi kadarnya berbeza, ada yang berisiko tinggi dan sebaliknya.

Perlu juga dilihat kepada faktor yang membantu mengurangkan risiko terbabit.

Seperti masalah kesihatan fizikal, setiap orang ada risiko berbeza untuk mendapat penyakit kencing manis, bukan sekadar faktor genetik dan sejarah keluarga, corak kehidupan juga mempengaruhi.

Pelbagai faktor menyumbang untuk meningkatkan risiko untuk seseorang itu mudah tertekan dan ada beberapa punca lain yang membuat seseorang itu mendapat penyakit kecelaruan panik contohnya.

Selalunya kita meletakkan sesuatu yang berlaku itu sebagai punca. Contoh, apabila gagal dalam peperiksaan atau selepas kehilangan pekerjaan, itu mungkin faktor pencetus untuk penyakit atau masalah mental itu bermula.

Maksudnya, puncanya bukan satu sebaliknya kombinasi aspek biologi seperti genetik, kecederaan otak semasa kecil, masalah dalam kandungan ibu, pengambilan bahan terlarang atau perubahan hormon.

Faktor atau punca daripada aspek psikologi, contohnya seorang yang pentingkan kesempurnaan, mereka yang sentiasa risau, mereka yang terdedah dengan trauma semasa membesar, pernah didera, dibuli dan sentiasa dipaksa untuk menjadi yang terbaik.

Faktor sosial dan persekitaran juga menyumbang. Tempat kerja yang toxic contohnya, boleh meninggikan risiko.

Data pada 2018 menunjukkan ada 410 psikiatri di Malaysia dengan nisbah psikiatri kepada penduduk 1.27 per 100,000. Ia jauh lebih rendah daripada nisbah disyorkan WHO antara satu hingga 10,000.

Bilangan pakar psikiatri di Malaysia masih jauh daripada nisbah dicadangkan WHO untuk menangani masalah kesihatan dan penyakit mental berbanding jumlah penduduk negara ini.

Bukan hanya pakar psikiatri berada pada tahap yang rendah, profesional yang lain terutama psikologi klinikal seperti di sektor awam terlalu sedikit.

Kita memerlukan lebih ramai profesional yang boleh memberikan perkhidmatan.

Negara perlu memperkasakan lagi sumber yang kita ada terutamanya kaunselor yang selama ini menjadi sumber utama perkhidmatan jika dilihat daripada aspek pencegahan dan promosi kesihatan mental.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 7:00 AM