TIGA daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. FOTO Arkib NSTP
TIGA daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Masalah kesihatan mental dijangka terus membebani rakyat negara ini dengan anggaran peningkatan kes sebanyak 10 peratus menjelang 2025.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2015, isu kesihatan mental merekodkan trend peningkatan sejak 2005 iaitu dari 11.5 peratus pada tahun berkenaan kepada 29.2 peratus pada 2015 atau kata pakar, tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Malangnya, di sebalik unjuran membimbangkan itu, negara masih kekurangan ahli psikologi bertauliah dan doktor psikiatri bagi menampung keperluan.

Ketiadaan akta khusus bagi mengawal selia perkhidmatan perubatan terbabit memburukkan lagi masalah kerana pada masa ini hampir siapa sahaja boleh menawarkan bantuan kaunseling dan rawatan psikologi kepada pesakit.

Pakar psikologi dan pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, bantuan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka tanpa tauliah itu diistilahkan sebagai pseudopsikologi atau 'psikologi palsu' iaitu penggunaan istilah psikologi, namun tiada bukti saintifik.

Lebih buruk lagi, 'rawatan' yang diberikan boleh memudaratkan psikologi penghidap untuk jangka panjang.

Menurut beliau, pada masa ini, pseudopsikologi ditawarkan secara meluas di negara ini memandangkan wujud jurang besar di antara jumlah penyedia perkhidmatan bertauliah dan permintaan.

"Mereka (penghidap masalah mental) memerlukan literasi dan sokongan profesional untuk membantu (mereka), namun jumlah (pakar bertauliah) agak terhad. Sekarang hanya (ahli) psikiatri serta beberapa profesion menolong seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal, pekerja sosial diaktifkan (ditauliahkan) melalui akta.

"Namun, bagi ahli serta pakar psikologi lain, mereka tidak dapat berperanan secara aktif kerana pemerkasaan kerjaya mereka (melalui penguatkuasaan undang-undang) tidak berlaku," jelas Shazli Ezzat yang juga Presiden Bakal Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) kepada Bernama.

DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

Ditanya mengenai perbezaan antara akta kaunselor dan psikologi, Shazli Ezzat berkata, akta kaunselor hanya tertakluk kepada profesion kaunselor yang fungsinya lebih bertumpu pada intervensi kepada masalah biasa masyarakat.

Akta psikologi pula adalah lebih luas kerana berperanan melindungi pakar dan pesakit daripada terpedaya dengan perkhidmatan pseudopsikologi.

Mengulas lanjut, Shazli Ezzat berkata, secara ringkas, akta terbabit bertujuan mengawal selia perilaku pengamal dan melindungi ahli masyarakat yang menerima perkhidmatan itu.

Menurut beliau, gesaan supaya diwujudkan akta psikologi bermula pada 2009 menerusi PSIMA, namun disebabkan isu kesihatan mental dilihat tidak begitu penting pada ketika itu, syor berkenaan tidak diketengahkan oleh penggubal undang-undang.

"Pada 2018, perundangan psikologi hampir dibawa ke Parlimen untuk sesi perbahasan, tetapi tidak berjaya. PSIMA memerlukan penaung yang kuat untuk merealisasikan pewujudan akta ini," kata beliau yang berharap Pejabat Perdana Menteri memainkan peranan itu.

Jelas beliau lagi, pewujudan undang-undang khusus berkait psikologi akan secara langsung menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh menerusi pembendungan masalah tingkah laku serta memberi ruang meningkatkan aktiviti melatih kemahiran psikologi seperti bantuan kecemasan psikologi, kecemasan kesihatan mental, strategi daya tindak, pengurusan emosi dan tekanan.

Beliau juga percaya pelaksanaan akta psikologi akan dapat membantu pakar psikologi bertauliah memberikan perkhidmatan intervensi kepada pesakit, secara tidak langsung melindungi masyarakat daripada menerima perkhidmatan psedupsikologi, sekali gus membantu mengawal isu masalah kesihatan mental di negara ini daripada terus membarah.

Berpandangan Malaysia sudah agak ketinggalan dalam bidang psikologi, Konsultan Bebas Psikologi Organisasi Dr Alizi Alias berkata, bidang itu sudah lama matang di negara maju, yang masing-masing mempunyai badan ikhtisas atau badan profesional bagi mengawal selia pengamal dan keseluruhan aspek bidang psikologi termasuk kurikulum pengajian.

"Di United Kingdom, mereka ada British Psychological Society yang mengawal selia gelaran dan amalan ahli psikologi. Pengamal psikologi ini pula perlu berdaftar dengan kerajaan melalui Health and Care Professions Council.

"Di Amerika Syarikat ada American Psychological Association yang mengawal selia kurikulum dan undang-undang negeri lesen pengamal. Sama juga di Australia yang ada Australian Psychological Society dan Psychology Board of Australia, Indonesia ada Himpunan Psikologi Indonesia yang mewajibkan ahli memiliki pensijilan (Sertifikat Sebutan Psikologi) dan lesen (Surat Izin Praktik Psikologi)," katanya.

DR Alizi. FOTO Arkib NSTP
DR Alizi. FOTO Arkib NSTP

Menurut beliau, pewujudan akta psikologi di Malaysia akan menyaksikan pengamal psikologi diwajibkan mempunyai kelulusan berdasarkan kurikulum tertentu selain berdaftar dengan badan profesional.

"Lebih-lebih lagi negara ini sudah mempunyai Akta Kaunselor 1998, sementara bidang kerja sosial pula bakal diperkukuh dengan Akta Profesion Kerja Sosial," kata beliau.

Menurut Alizi, pada awalnya ada cadangan mewujudkan akta psikologi bersekali dengan akta kaunselor, namun keutamaan diberikan kepada undang-undang kaunselor disebabkan jumlah mereka lebih ramai selain bidang kaunseling wujud lebih awal iaitu dalam era 1940-an berbanding bidang psikologi pada 1970-an.

"Perjawatan pegawai psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam juga wujud secara rasminya pada 1992 dan melalui banyak perubahan. Oleh itu, bidang psikologi boleh belajar daripada pengalaman dalam dan luar negara untuk memastikan akta ini, sekiranya diwujudkan, adalah yang terbaik dari segi ideal dan realiti," katanya.

Menurut Alizi, penggubalan akta psikologi juga diyakini dapat memastikan keperluan kesihatan mental di negara ini mampu dipenuhi, memandangkan pada masa ini, bilangan pengamal psikologi profesional adalah terlalu sedikit.

Katanya, pada 2021, Malaysia mempunyai kira-kira 500 doktor pakar psikiatri dengan nisbah seorang pakar untuk kira-kira 100,000 orang iaitu jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengesyorkan seorang pakar bagi setiap 10,000 orang.

"Pakar psikologi klinikal yang bekerja dalam perkhidmatan awam pula hanya berjumlah 48 orang manakala jumlah pakar psikologi klinikal berdaftar secara keseluruhan adalah 300 orang. Bayangkan 8,926 kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada akhir 2019 menguruskan 32.7 juta rakyat dengan nisbah 1:4,030 orang.

"Sebenarnya tugas kaunselor lebih tertumpu pada populasi normal yang mempunyai masalah berkaitan kehidupan harian, kekeluargaan, sosial dan tempat kerja atau memberi terapi sokongan kepada pesakit mental. Tetapi, untuk mendiagnosis dan memberi rawatan profesional kepada pesakit mental, tugas ini terbeban pada pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal yang bilangannya sangat sedikit," jelas beliau.

Beliau berkata, pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kes kesihatan mental dengan 1,142 kes pada 2021 berbanding hanya 631 pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 81 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 7:01 AM