INDIVIDU boleh bertindak ganas disebabkan gangguan suara dan bayangan yang muncul di hadapan mereka.
INDIVIDU boleh bertindak ganas disebabkan gangguan suara dan bayangan yang muncul di hadapan mereka.
Siti Zarinah Sahib

Setiap tiga daripada 10 rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas (atau 29.2 peratus) mengalami pelbagai masalah kesihatan mental. Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan menjelang 2020, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar membahayakan rakyat negara ini selepas penyakit jantung.

Namun penyakit mental masih disalah faham di Malaysia. Ada yang menyamakan penyakit mental dengan kurang waras, manakala segolongan besar gagal mengenali tanda dan simptom penyakit terbabit. Antara penyakit mental umum adalah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia.

Terdapat stigma sosial yang besar berkaitan penyakit mental. Ia berpunca daripada pendirian budaya yang dibentuk oleh kepercayaan tahyul dan salah faham. Persepsi negatif ini menyebabkan pesakit mental menderita dalam senyap, sering diketepikan masyarakat dan tiada harapan walaupun mendapat sokongan, menerusi pemulihan.

Berbanding lelaki, wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berpunca daripada tekanan di tempat kerja, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan. Gangguan mental ini menyebabkan wanita mudah berhadapan kemurungan sehingga mendorong mereka membunuh diri.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan, ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan disebabkan malu dan merasakan mereka tidak sakit. Kebanyakannya lebih gemar menyimpan masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal. Ada pula bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri.

“Dalam hal ini, masyarakat perlu disedarkan bahawa semua pihak bertanggungjawab membantu individu yang berada dalam krisis gangguan kesihatan mental. Pesakit tidak seharusnya dibiarkan, sebaliknya ahli keluarga atau rakan perlu membawa mereka bertemu pakar psikiatri secepat mungkin.

“Ahli keluarga harus mengenali tanda penyakit mental seperti murung, jadi pendiam atau bertindak di luar kebiasaan,” katanya yang dalam bengkel Pertolongan Kecemasan dan Bantuan Awal Kesihatan Mental anjuran Pfizer Malaysia.

Tambahnya lagi, masalah utama dihadapi adalah kekurangan 3,000 pakar psikiatri bagi menampung keperluan lebih 30 juta penduduk Malaysia malangnya ketika ini negara hanya memiliki 380 pakar di seluruh negara. Masalah ini tentunya memberikan impak kepada proses rawatan dan pemulihan kerana bantuan pakar psikiatri dan profesional sangat diperlukan bagi merawat penyakit berkenaan.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Datin Dr Ang Kim Teng berkata, kit pertolongan cemas untuk kesihatan mental sangat perlu bagi membantu memberikan maklumat kepada masyarakat.

Ramai di antara kita kurang jelas mengenai tanda gangguan kesihatan mental oleh itu mereka tidak dapat menghulurkan bantuan bantuan apabila berhadapan pesakit yang mengalami masalah ini.

Pesakit yang lambat diberikan bantuan akan bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri lebih malang mengambil keputusan membunuh diri.

“Pesakit yang mengalami masalah gangguan mental, biasanya dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan rawatan. Malangnya ada pesakit lambat dibawa ke hospital sedangkan masyarakat juga boleh membantu dengan cara memberikan sokongan, mendengar masalah, sentiasa berhubung dengan mereka dan bertindak wajar apabila terdapat tanda luar biasa pada pesakit,” katanya.

Tambahnya lagi masyarakat perlu tahu, di Malaysia terdapat persatuan khusus untuk menangani individu yang menghadapi masalah kesihatan mental. Namun, tidak ramai mengetahui kewujudan persatuan ini.

DR Ang jelaskan ramai wanita alami kemurungan selepas bersalin.
DR Ang jelaskan ramai wanita alami kemurungan selepas bersalin.

Jenis masalah kesihatan mental

Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Micheal Ang Jin Kiat, kesihatan mental biasa berlaku dalam masyarakat dan ia memerlukan rawatan sebagaimana penyakit lain. Ia juga boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira usia, warna kulit, bangsa dan tahap pendidikan.

Walaupun ramai beranggapan masalah kesihatan mental berkaitan dengan gila atau tidak waras, sebenarnya ia boleh dirawat. Kesihatan mental bukan bermakna penghidapnya lemah yang menyebabkan mereka perlu didiskriminasi. Sebaliknya sokongan, nasihat dan perhatian mampu memberi ruang mereka melalui kehidupan normal seperti orang lain.

Jelas Dr Micheal penyakit mental terdiri daripada pelbagai jenis seperti skizofrenia, kemurungan yang teruk dan bipolar. Skizofrenia berlaku apabila individu berhadapan masalah halusinasi.

“Mereka yang berada dalam kelompok ini sering merasakan atau mendengar sesuatu bisikan. Apabila ini berlaku pesakit tidak boleh menumpukan perhatian atau fokus kepada kerja. Mereka semakin tertekan apabila suara-suara itu jelas kedengaran. Ada pula sesetengah kes merasa gangguan bayangan atau khayalan sehingga bertindak ganas,” katanya.

Bagi masalah kemurungan pula ia banyak dihadapi wanita terutama mereka yang sibuk bekerja di pejabat dan menguruskan keluarga di rumah. Kemurungan keterlaluan juga dihidapi wanita selepas bersalin, terutama tidak mendapat sokongan suami. Penyakit ini perlu dirawat segera kerana ia boleh menjejaskan kehidupan seharian.

“Tanda kemurungan dapat dikenali menerusi perubahan dalam tingkah laku individu. Mereka yang murung menunjukkan wajah yang sedih, pendiam, menyendiri, tidak mahu melakukan aktiviti, tiada selera makan, tidak seronok, resah, merasa tersisih dan terbeban dengan diri sendiri,” katanya.

Gangguan bipolar pula dipercayai disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama lalu mencetuskan masalah pada otak. Ia dikaitkan dengan keturunan terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami bipolar. Penyakit ini turut menyebabkan perubahan emosi seperti sedih dan gembira secara tiba-tiba.

Keadaan berubah-ubah antara terlalu gembira dan sedih, dipanggil sebagai episod mania dan kemurungan. Bagaimanapun, masalah ini sukar dikesan kerana mereka kelihatan gembira dan progresif setiap masa.

“Dua sifat positif ini secara tidak langsung melindungi masalah sebenar yang dihadapi pesakit, sedangkan mereka juga mengalami pelbagai gejala kemurungan yang berulang dan memerlukan rawatan sewajarnya,” katanya.

Tanda yang perlu diperhatikan

Kebanyakan pesakit yang mengalami gangguan mental tidak sedar mereka mula menunjukkan banyak perubahan sikap. Dalam hal ini, bantuan orang terdekat sama pasangan, anak, ahli keluarga lain dan rakan amat diperlukan. Bagaimana hendak mengenal pasti jika seseorang itu memerlukan bantuan?

Disenaraikan 12 tanda penting untuk diperhatikan pada diri sendiri atau keluarga tersayang yang perlu diberikan perhatian segera.

1. Berasa diri tidak berguna, tertekan, sentiasa kurang yakin dengan diri sendiri atau diulit rasa bersalah tanpa sebab tertentu

2. Menyisihkan diri daripada keluarga, rakan dan tidak mahu lagi mengikuti aktiviti yang digemari

3. Perubahan pada corak makan dan tidur

a. Adakah anda tidur sepanjang masa atau sukar untuk tidur?

b. Adakah berat badan anda bertambah atau tidak berasa lapar sepanjang masa?

4. Dibelenggu rasa marah, kesal dan mahu membalas dendam

a. Adakah anda menunjukkan reaksi keterlaluan apabila dikritik?

5. Berasa penat dan lesu sepanjang masa

6. Sukar menumpukan perhatian, sukar berfikir, mengingat atau membuat keputusan

a. Jika anda pelajar, adakah anda tiba-tiba hilang keinginan untuk ke kelas?

b. Adakah gred dan prestasi di sekolah merosot?

7. Berasa gelisah, resah, tidak selesa dan gemuruh

8. Kerap menangis tanpa sebab munasabah

9. Mula mengabaikan kebersihan diri

a. Adakah anda tidak pedulikan lagi penampilan atau tidak menjaga kebersihan diri sendiri

10. Menunjukkan perlakuan yang melulu

a. Adakah anda mengambil dadah atau minum banyak minuman beralkohol?

b. Adakah anda menunjukkan perlakuan yang boleh membahayakan diri atau orang sekeliling?

11. Kerap mengalami sakit kepala, masalah penghadaman atau kesakitan kronik yang tidak dapat diatasi dengan pengambilan ubat atau rawatan biasa

12. Ada lintasan di fikiran untuk membunuh diri - Ini tanda yang berbahaya dan perlukan rawatan segera

a. Mengancam untuk mencederakan diri sendiri atau bercakap mahu mencederakan atau membunuh diri

b. Bercakap atau menulis mengenai bunuh diri - yang biasanya tidak dilakukan oleh orang normal

c. Mencari jalan untuk membunuh diri dengan melihat akses kepada pil, bahan bakar dan lain-lain

d. Memberi orang hadiah atau barangan peribadi yang sangat dihargai

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 2:52 PM