PROFESOR Dr Ahmad Hatim.
PROFESOR Dr Ahmad Hatim.
DR Hazli.
DR Hazli.
PENYAKIT kronik berpunca daripada  kegagalan fungsi otak.
PENYAKIT kronik berpunca daripada kegagalan fungsi otak.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Manusia tidak mampu lari daripada tekanan. Walaupun secara luarannya kelihatan ceria dan gembira, gelodak serta mainan dalaman jiwa tiada siapa dapat merungkaikannya.

Manusia juga makhluk penuh emosi dan sering berhadapan dengan segala macam cabaran sepanjang hidupnya.

Adakalanya murung, sedih atau rendah diri yang berpanjangan melanda diri hingga menyebabkan fikiran bercelaru dan jiwa kacau.

Biarpun masalah adalah perkara biasa dalam kehidupan, bukan semua individu mampu mengharunginya dengan tenang. Emosi yang rapuh ditambah pula dengan cemuhan, ejekan atau kurangnya sokongan daripada orang sekeliling terutama yang paling rapat dengan dirinya membuatkan seseorang sanggup bertindak seperti orang akal.

Tidak semua tindakan berbeza atau di luar kelaziman itu boleh dikategorikan sebagai orang gila kerana kebanyakannya berdepan penyakit mental yang boleh dirawati.

Seperti skizofrenia, pesakitnya mampu sembuh meskipun bertahun, malah berdekad lamanya menderita.

Si genius matematik dari Amerika Syarikat yang juga penerima Nobel 1994, John Forbes Nash Jr dan Syd Barrett daripada kumpulan Pink Floyd adalah antara pesakit skizofrenia yang berjaya pulih meskipun bertahun lamanya bergelut dengan penyakit itu.

Ini nyata menepis tanggapan skeptikal bahawa pesakit mental seperti skizofrenia ini tidak dapat pulih dan sukar menjalani kehidupan seperti manusia normal.

Skizofrenia sering dianggap penyakit mental yang menakutkan hingga dilihat berupaya membahayakan individu yang berada di sekelilingnya.

Simptom skizofrenia muncul pada individu berusia antara 15 ke 35 tahun. Lelaki dan perempuan memiliki risiko sama mendapat skizofrenia, tetapi gejala lebih cepat muncul pada lelaki.

Jelas Konsultan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Selayang, Dr Toh Chin Lee, skizofrenia adalah penyakit kronik berpunca daripada kegagalan fungsi otak. Ia juga boleh diwarisi daripada ahli keluarga yang pernah mengalaminya.

Mereka yang mengalami skizofrenia lazimnya mendengar suara atau bunyi yang tidak didengari individu lain. Pesakit skizofrenia juga percaya pemikiran diri mereka dikuasai dan dipengaruhi individu lain.

“Secara luarannya mereka yang mengalami skizofrenia ini kelihatan normal dan tiada beza dengan orang lain.

“Cuma pesakit skizofrenia ini boleh dikenal pasti dengan simptom seperti bercakap seorang diri dan biasanya percakapannya tidak masuk akal.

“Pesakit juga mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan, malah berubah menjadi pendiam. Ada juga kes pesakit mampu bercakap dalam tempoh lama tanpa henti, tetapi semua percakapannya tidak logik.

“Keadaan ini disebabkan kaitan dengan ketidakseimbangan unsur kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter.

“Jika kimia yang membantu sel saraf berkomunikasi dengan otak ini terjejas, ia menyebabkan berlakunya pelbagai kemungkinan termasuk gejala penyakit mental.

“Lalu tidak mustahil pesakit skizofrenia akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan manusia normal seperti mencederakan diri sendiri, mencederakan orang lain dan membunuh,” katanya ketika Bengkel Orang Gila atau Skizofrenia baru-baru ini.

Dua kriteria

Murung dan kecenderungan mengasingkan diri daripada keluarga atau individu sekeliling antara dua petanda yang perlu diberi perhatian apabila seseorang itu disyaki mengalami masalah mental.

Selain itu, wujud gejala lain seperti delusi, halusinasi, emosi yang tidak terkawal dan pertuturan serta tingkah laku tidak teratur.

“Pesakit skizofrenia juga mula mengabaikan penjagaan kebersihan diri, malah ada yang tidak berupaya membezakan hari, masa, keadaan, warna, bau dan sebagainya.

“Majoriti pesakit skizofrenia di Malaysia lambat mendapat rawatan kerana tiada kesedaran dalam kalangan keluarga.

“Apabila terlihat simptom ini berlaku dalam kalangan ahli keluarga, segeralah dapatkan rawatan pakar. Sebaik-baiknya elakkan tanggapan atau kepercayaan dirasuk makhluk halus, serangan ilmu hitam dan sebagainya,” ujarnya.

Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Hazli Zakaria menjelaskan, 54 peratus pesakit mental atau psikiatri ini dibawa ‘berubat’ dengan penyembuh tradisional terlebih dulu dan hanya dibawa bertemu pakar psikiatri selepas keadaannya tidak berubah atau semakin teruk.

“Keadaan mental pesakit yang tidak stabil biasanya dilihat sebagai gangguan ilmu hitam atau makhluk halus oleh kalangan ahli kelurganya.

“Jadi secara automatiknya pesakit dibawa bertemu bomoh atau pawang terlebih dulu kerana berasakan ia bukan masalah berat.

“Pesakit barulah dirujuk ke hospital dan pakar berkaitan apabila keadaan bertambah buruk dan pesakit dilihat tiada tanda untuk pulih.

“Keadaan ini berpunca daripada keluarga yang terdesak untuk memulihkan pesakit. Mereka beranggapan jika pesakit dirujuk kepada pakar perubatan, ia memakan masa lama, memerlukan kos yang tinggi dan bimbang masyarakat memandang serong hingga memanggil pesakit dengan bermacam gelaran tidak menyenangkan.

“Justeru, rawatan alternatif dan penyembuhan tradisional ini dilihat lebih mudah serta tidak membebankan,” katanya.

Dr Hazli bagaimanapun tidak menafikan manfaat daripada rawatan alternatif ini, cuma ia hanya sesuai untuk kes neurosis sahaja.

Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Hatim Sulaiman dari Bahagian Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya mengatakan rawatan ubatan dan kaunseling dapat membantu pesakit skizofrenia.

“Skizofrenia boleh di­sembuhkan dengan syarat ia dirawat segera. Jika ada keturunan atau sejarah keluarga perlu segera dapatkan pemeriksaan lanjut.

“Lebih 80 peratus pesakit dapat kembali hidup normal dan produktif selepas mendapat rawatan dan mengambil ubatan mengikut jadual.

“Biasanya selepas beberapa rawatan, pesakit skizofrenia sudah berupaya berdikari dan kembali membina kehidupannya. Jadual pertemuan dengan pakar juga berkurangan tetapi masih perlu mengambil ubatan tertentu sehinggalah pesakit didapati dapat pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 11:46 AM