BERNAMA

Tokyo: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba, di sini, hari ini untuk lawatan kerja tiga hari di Jepun.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda kira-kira 9 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Antara yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Naib Menteri Luar Parlimen Jepun Yasushi Hosaka dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri. Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei), turut dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Jepun Fumio Kishida untuk mesyuarat dua hala, dan beliau juga dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dengan kapten industri tempatan, pelajar dan ahli akademik.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut. Tahun lalu jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (US$34.39 bilion).

Terdahulu, Shahril Effendi berkata, lawatan kedua Anwar ke Jepun dalam tempoh enam bulan, jelas menggambarkan hubungan yang komprehensif dan penting terjalin selama 68 tahun antara kedua-dua negara.

Walaupun singkat, beliau berkata, lawatan itu padat dengan beberapa perjumpaan bersama penggubal dasar dan kapten industri, memandangkan perdana menteri perlu kembali ke Malaysia pada hujung minggu.

Sebelum ini Perdana Menteri telah melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Jepun pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:41 PM