Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin Asean lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, hari ini antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin Asean lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, hari ini antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tokyo: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin Asean lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, hari ini antara acara utama pada lawatan lima hari beliau ke Jepun.

Pemimpin daripada 10 negara anggota kecuali Myanmar, berada di Tokyo untuk sidang kemuncak itu. Sidang itu juga turut disertai Timor Leste.

Perdana Menteri menjadi pemimpin Asean kelima tiba pada mesyuarat itu dengan Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmao menjadi orang pertama tiba. Kesemua pemimpin negara Asean disambut Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Sidang kemuncak setengah hari itu bermula pada 9.30 pagi (waktu tempatan) dan pada akhir sidang itu, pemimpin akan mengeluarkan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya pada 1.35 tengah hari.

Turut bersama Anwar pada sidang itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Ketua Pengarah bagi Sekretariat Kebangsaan Asean Datuk Zanariah Zainal Abidin.

Sidang itu adalah kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog Asean-Jepun.

Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia pada Februari dan di Tokyo pada Mac.

Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu.

Ini termasuk Minggu Perniagaan Asean-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman Asean-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan Asean-Jepun pada Oktober.

Selepas sesi pertama, Anwar yang tiba di sini pada Jumaat, dijangka akan mengadakan pertemuan dua hala ringkas di luar acara bersama Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh pada 11.20 pagi, sebelum sesi kedua diteruskan pada 11.50 pagi.

Pada sebelah petang, Anwar akan ditemu bual dua media Jepun: Biro Jakarta Asahi Shimbun pada 3.30 petang dan Nihon Keizai Shimbun pada 4:15 petang.

Perdana Menteri bersama isterisnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan menghadiri Pre-Gala Commemorative Lighting Ceremony, diikuti dengan majlis makan malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 10:39 AM