Azam Baki.
Azam Baki.
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan berhubung pembinaan telaga jejari dibebaskan dengan jamin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Mereka berusia 40 hingga 60-an dibebaskan selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM.

Sumber berkata, kesemua mereka dibebaskan selepas membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 seorang.

"Mereka perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, empat individu ditahan, masing-masing dua bekas pegawai kanan AKSB dan dua pemilik syarikat yang diberi tanggungjawab sebagai perunding di empat lokasi berasingan antara jam 7 hingga 10 pagi Rabu lalu.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembinaan telaga jejari yang tidak dapat berfungsi dalam membekalkan air kepada penduduk.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap 28 telaga jejari yang dibina menerusi Projek Pembinaan Telaga Jejari (HCW).

Katanya, ia membabitkan 10 projek pembinaan serta membaik pulih loji rawatan air (LRA) dianggarkan berjumlah lebih RM300 juta yang dibina AKSB, namun didakwa gagal berfungsi bagi membekalkan air kepada penduduk.

Susulan itu, mereka ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 1:38 PM