GAMBAR hiasan. FOTO NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Penurunan paras air yang kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas menyebabkan 48,635 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air.

Ia susulan kemarau berterusan dan beberapa kampung di Pasir Mas dan Tumpat yang bergantung bekalan air itu akan terjejas.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang menjalankan beberapa inisiatif dan keadaan dijangka pulih menjelang Aidilfitri.

"Paras air sungai ketika ini berada pada paras 0 meter di bawah muka sauk LRA Kelar, sekali gus memberi kesan terhadap jajahan Tumpat membabitkan 13,381 akaun, manakala Pasir Mas dengan 35,254 akaun.

"Selain itu gangguan bekalan air juga disebabkan kerosakan dua unit pam akibat mendapan pasir dan sampah," katanya.

AKSB memaklumkan tindakan mitigasi segera diambil adalah memasang pam tambahan di luar muka sauk, serta melakukan kerja pembersihan muka sauk LRA Kelar.

Selain itu katanya, AKSB melaksana penyelenggaraan HCW (Telaga Jejari) Semuba 1 yang bermula semalam dan jangkaan siap esok.

"Pihak kami akan mendapatkan bantuan khidmat lori tangki daripada rakan operator jika keadaan kritikal berterusan," katanya.

Bilangan lori sedang diatur gerak adalah enam lori tangki AKSB, tujuh lori air kontrak dan menempatkan 108 tangki statik di kedua-dua jajahan yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:26 PM