Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Masalah air yang dialami sejak lebih sebulan lalu memaksa lebih 50 pemilik rumah di Kampung Beta Hilir di sini, menyediakan tangki untuk memudahkan menyimpan bekalan dihantar kepada mereka.

Mereka mendapat bekalan air yang dihantar oleh lori Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam tempoh empat hari sekali.

Seorang penduduk, Armiza Abd Aziz, 56, berkata, dia menyediakan satu tangki untuk diisi air bagi digunakan untuk mandi, membasuh baju, memasak dan minum.

"Untuk mendapatkan air, saya akan menghubungi pihak AKSB yang akan menghantar air dengan lori dan mampu digunakan untuk empat hari," katanya.

Penduduk di Kampung Limbat, Pasir Tumboh, Rohaiza Ab Rahman, 45, pula berkata, dia menghadapi masalah air sejak lima tahun yang lalu.

Katanya, disebabkan masalah itu juga dia terpaksa berpindah sebanyak tiga kali, namun ia masih belum selesai.

"Bagi menampung keperluan itu, saya membuat air telaga tiub sejak dua bulan lalu.

"Besar harapan saya supaya masalah air ini dapat diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 3:09 PM