GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang menyiapkan pembinaan empat telaga tiub bagi Loji Rawatan Air (LRA) Chicha iaitu dua di Pasir Tumboh dan dua lagi di Kenali, di sini, bagi menyelesaikan masalah air di sekitar Pasir Tumboh termasuk di Kampung Parit.

Pejabat Pengurus Besar AKSB berkata, tiga telaga iaitu satu di Pasir Tumboh dan dua di Kenali sudah beroperasi dengan menggunakan pam sementara yang dapat menambahkan pengeluaran air sebanyak 4 juta liter sehari (MLD).

Katanya, pam kekal bagi keempat-empat telaga itu dijangka akan sampai pada pertengahan bulan ini dan tiga telaga berkenaan dijangka beroperasi pada pertengahan Januari tahun depan.

"Telaga di Pasir Tumboh dapat digunakan selepas selesai kerja-kerja tambahan bekalan elektrik sementara di Medan Telaga Pasir Tumboh yang dijangka dapat beroperasi pada pertengahan Mac tahun depan.

"Apabila siap empat telaga yang menggunakan pam kekal ia dijangka dapat menambahkan pengeluaran air sebanyak 10 MLD di LRA Chicha dari purata 70 MLD kepada 79 hingga 80 MLD sekali gus akan mampu menyalurkan bekalan sehingga ke kampung berkenaan.

"AKSB juga sedang berbincang dengan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan berhubung penambahan telaga tiub di kawasan terkesan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, AKSB juga sedang menyiapakan LRA Telok dengan pencapaian 30 MLD yang dapat menampung liputan bekalan air dari LRA Chicha termasuk di Kampung Parit yang akan dapat menikmati bekalan air yang lebih stabil.

Terdahulu, lebih 100 penduduk di Kampung Parit menegaskan tidak akan membayar bil air walaupun berdepan tunggakan mencecah ribuan ringgit dengan alasan mereka tidak menggunakan air yang dibekalkan AKSB kerana sudah lama terputus selain bekalan tidak sampai ke rumah lebih lima tahun.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan,

Kampung Parit adalah kawasan hujung yang mendapat bekalan air daripada LRA Chicha melalui tangki Kubang Kerian.

"AKSB juga mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah di Kampung Parit iaitu menghantar air terawat melalui lori tangki atau lori air kontrak (LAK) ke kawasan yang terkesan bermula 2019 hingga sekarang.

"AKSB menempatkan dua tangki statik iaitu 1,500 gelen dan 500 gelen di Kampung Parit yang mana dua unit LAK dikhususkan bagi mengisi tangki statik dan membuat penghantaran air terawat ke premis secara percuma setiap hari," katanya.

AKSB menasihatkan pengguna supaya memaklumkan kepada pihaknya berhubung masalah bekalan air bagi membolehkan tindakan segera diambil dan mereka boleh membuat aduan melalui myAKSB atau menghubungi AKSB di talian 15777 atau WhatsApp ke 019-5755777 atau email [email protected] atau ke pejabat jajahan terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:06 PM