Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar Ketika majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi  di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar Ketika majlis pra pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM110,000 kepada 110 peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 2024, di sini, yang akan berlangsung dari 23 hingga 28 Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap peserta tilawah dan hafazan akan menerima RM1,000 sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri.

Katanya, sumbangan wang tunai itu dianggap sebagai duit poket sepanjang mereka berada di Pahang, khususnya di Kuantan.

"Kita (Kerajaan Pahang) sangat gembira dan berbesar hati. Sebagai tanda tulus ikhlas, sejumlah RM1,000 sebagai duit poket diberikan kepada setiap peserta MTHQK.

"Bagi penganjuran MTHQK di Pahang, kerajaan Pahang memperuntukkan jumlah keseluruhan RM2.734 juta," katanya pada sidang media pra pelancaran MTHQK Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, di sini, hari ini.

Majlis pra pelancaran itu disempurnakan Wan Rosdy dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

MTHQK 2024 akan diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 23 Mei ini.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah pula disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganjuran MTHQK 2024 dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Daripada 110 peserta itu, seramai 81 peserta menyertai kategori hafazan, manakala 29 peserta pula kategori tilawah al-Quran.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, MTHQK 2024 menunjukkan peningkatan sokongan daripada pelbagai pihak apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berbesar hati menaja hadiah tambahan iaitu bar emas seberat lima gram kepada johan semua kategori tilawah dan hafazan.

"Tajaan hadiah tambahan daripada kerajaan Pahang dan YaPEIM diharap meningkatkan motivasi kepada peserta dalam memberikan prestasi terbaik dalam MTHQK 2024.

"Ia memperlihatkan wujudnya satu kolaborasi erat antara Kerajaan Persekutuan dan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk bersama menyumbangkan peranan bagi meningkatkan lagi prestij penganjuran MTHQK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 2:59 PM