GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Asid sulfurik adalah bahan kimia tidak berwarna yang mudah didapati di kedai atau secara dalam talian.

Bahan kimia itu bersifat menghakis yang boleh mengakibatkan kesakitan pada mata, hidung, dan paru-paru malah lecuran sehingga tahap empat jika terdedah kepada kulit manusia.

Apa yang membimbangkan, penjualan bahan kimia boleh dilakukan dengan mudah tanpa sebarang kawalan atau tapisan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis menjual bahan itu di sekitar Lembah Klang dan secara dalam talian mendapati sesiapa saja boleh mendapatkan bahan kimia berkenaan.

"Kami ada jual (asid sulfurik), encik mahu packaging (bungkusan) macam mana?

"Ada 2.5 liter harga RM100, kalau mahu boleh pickup (ambil) di kedai," kata seorang jurujual ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, hasil carian di laman web turut dengan mudah menemui beberapa kedai yang menjual bahan kimia itu secara dalam talian dengan harga bermula RM160 bagi botol bersaiz 2.5 liter dan ke atas termasuk penghantaran.

Tiada kawalan atau semakan diperlukan untuk membeli racun berkenaan dan sesiapa sboleh mendapatkannya walaupun menggunakan nama samaran.

Hal ini mungkin berpunca daripada kegunaan bahan kimia itu yang meluas dalam pembikinan baja pertanian, cecair pencuci, bahan pengilat besi dan banyak lagi.

Bahan kimia yang diklasifikasikan sebagai racun makmal dan perindustrian di dalam Akta Racun 1952 itu juga digunakan secara meluas bagi membuat elektrolit yang digunakan di dalam bateri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 2:59 PM