BOMBA melakukan pemeriksaan dan keadaan baju mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA melakukan pemeriksaan dan keadaan baju mangsa yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Roji Kawi


PEMBANTU makmal di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Petra Jaya, parah akibat terkena tumpahan asid sulfurik, hari ini.

Kejadian pada 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Leny Wirarany Sadikan, melecur dari paras pinggang ke bawah.

Ketika kejadian, mangsa sedang bekerja di stor makmal sekolah terbabit.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.31 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu sembilan anggota serta kenderaan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan tumpahan asid sulfurik dengan kepekatan 98 peratus masih berlaku dan mengalir di bilik stor makmal sekolah itu.

“Seorang wanita berusia 40 tahun yang bertugas sebagai pembantu makmal terkena tumpahan menyebabkannya melecur.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak oleh unit EMRS,” katanya.

Tiong berkata, pasukan HAZMAT menggunakan PPE Chemical Protective Suit (CPS) untuk membuat pengesanan menggunakan kertas PH.

Katanya, pengesanan mendapati bacaan di dalam stor berkenaan berada pada tahap pH 1.

“Anggota kemudian melakukan kerja ‘tactical neutralise acid’ sehingga mencapai bacaan pH 7.

“Operasi ditamatkan pada jam 9.56 pagi, selepas keadaan terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 2:55 PM