Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama penaja misi bantuan pada sidang media misi bantuan kemanusian ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare).
Pengerusi MyCare, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharrudin Mustapha bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mycare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar bergambar bersama penaja misi bantuan pada sidang media misi bantuan kemanusian ke Gaza (freedom flotilla coalition) di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare).
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Biarpun misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) pelayaran 'Break The Siege: Freedom Flotilla Mission To Gaza 2024' sudah ditangguhkan ke tarikh lain yang belum ditentukan namun ia tidak mematahkan semangat sukarelawan yang terbabit.

Ahmad Mukhlis Mohd Ghazi, 34, seorang daripada 1,000 peserta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global yang menyertai misi mencabar itu berkata, dia memang agak sedih ketika dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright dalam pertemuan bersama semua delegasi di Fatih, Istanbul pada petang Jumaat lalu bahawa semua peserta dinasihatkan pulang ke negara masing-masing.

Sukarelawan Malaysia Humanitarian Aid and Relief (Mahar) itu berkata, namun ia tidak mematahkan semangatnya dan semua peserta misi walaupun sedikit mengganggu momentum yang tinggi untuk ke Gaza.

"Apa pun semua peserta memahami bahawa misi kali ini sangat tegang termasuk kematian berlaku kepada tujuh pekerja badan amal World Central Kitchen (WCK) dalam serangan udara Israel," katanya ketika ditemui Majlis Silaturahim Aidilfitri 2024 anjuran Mahar, di sini, hari ini.

Dia berkata, ketika ini dia berdebar menunggu tarikh dipanggil semula menyertai misi.

Katanya, ketika di Istanbul, peserta sempat menyertai beberapa simulasi latihan untuk persediaan berhadapan konflik.

"Antaranya 'non violent training' iaitu bagaimana kita perlu bertindak balas jika berdepan Israel yang mungkin menahan kapal.

"Apa yang penting kita belajar untuk bertindak tenang dalam sesuatu situasi yang mungkin sangat tegang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat 18 warga Malaysia menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki Flotilla untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha dilaporkan berkata, 18 warga Malaysia itu terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir namun tarikh pelayaran ialah pada 21 April ditunda dua kali kepada 24 April dan 26 April sebelum ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:59 PM