Dr Wan Azizah pada sidang media selepas menerima kunjungan sukarelawan MyCARE. FOTO Asyraf Hamzah
Dr Wan Azizah pada sidang media selepas menerima kunjungan sukarelawan MyCARE. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


DASAR luar Malaysia sebelum ini berkaitan Palestin akan diteruskan supaya selari hala tuju yang direncana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, tentangan terhadap langkah Amerika Syarikat (AS) memindahkan pejabat kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis adalah suara umat Islam, selain mewakili rakyat Malaysia yang merangkumi pelbagai bangsa.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengubah mana-mana dasar luar, berkaitan kepentingan dan perjuangan Palestin.

“Kita belum ada Kementerian Luar, tetapi saya ingin jelaskan tiada perubahan berkaitan dasar luar yang menyentuh isu Palestin kerana di Parlimen sebelum ini pun memang wujud kesepakatan menentang keputusan AS memindahkan pejabat kedutaannya ke Baitulmaqdis.

“Penentangan oleh Malaysia ini selaras hala tuju dan suara daripada PBB,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), di kediaman peribadinya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Delegasi diketuai Pengerusi MyCare, Prof Dr Hafidzi Mohd Noor itu turut disertai Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Dr Fauziah Mohd Hasan yang juga bekas peserta misi Women’s Boat To Gaza (WBTG).

Mengulas misi Freedom Flotilla Coalition (FFC), Dr Wan Azizah berkata, gerakan solidariti itu memerlukan dana yang banyak kerana kapal dinaiki peserta konvoi berkenaan dijangka dirampas rejim Israel.

Susulan itu, katanya, mana-mana pihak yang berupaya membantu diminta tampil menghulurkan sokongan, khususnya dari aspek kewangan.

“Dana dijumpai di mana-mana tempat juga boleh diberikan dengan niat untuk membantu misi FFC,” katanya.

Seramai 10 aktivis menyertai siri pelayaran misi kemanusiaan FFC yang mula belayar dari Copenhagen, Denmark pada 22 Mei lalu dan dijangka tiba di Gaza, penghujung Julai.

Pengerusi MyCare, Prof Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata misi ‘Right to A Just Future for Palestine’ mengambil masa lebih dua bulan menerusi pelayaran menggunakan bot besar bernama Al-Awda yang bermaksud pulang.

Kumpulan aktivis daripada MyCare adalah Dr Fauziah Hassan, Norsham Abu Bakar, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, Dr Mohd Afandi Salleh, Zool Fadli Hamzah, Muhammad Aiman Mohd Zin, Mas Ahmad Jonid, Muaz Ruslan dan Dr Muhamad Yusri Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 9:00 PM