KURSUS membuat pastri, menjahit dan juga pertukangan rotan antara program kemahiran   ditawarkan di PPA Batu Gajah.
KURSUS membuat pastri, menjahit dan juga pertukangan rotan antara program kemahiran ditawarkan di PPA Batu Gajah.
BERNAMA

Batu Gajah: Fifi (bukan nama sebenar), 33, menjadi pusher atau penjual dadah ketika berusia 14 tahun selepas ibu dan bapanya sering keluar masuk penjara akibat penyalahgunaan barang terlarang itu.

Namun 'duit panas' yang mampu diperoleh antara RM500 hingga mencecah RM5,000 sebulan pasti tidak memberi keberkatan kerana akhirnya wanita itu terperangkap dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah.

"Keadaan ibu bapa yang terjebak dadah membuatkan saya mengetahui selok belok bahan haram itu yang boleh menghasilkan duit. Suatu ketika saya hilang punca mencari wang untuk menyara lima adik, jadi saya cari pelanggan ibu bapa dan bekalkan dadah kepada mereka," katanya ketika ditemui di pusat itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Fifi juga beberapa kali menjalani hukuman penjara kerana menggunakan syabu.

Lain pula kisahnya dengan Apit (bukan nama sebenar), 38, kerana kekhilafan diri menggunakan dan mengedar dadah, rumah tangga dibina musnah apabila isteri menuntut perpisahan daripadanya.

"Sudah tiga kali saya keluar masuk pusat tahanan kerana kesalahan dadah dan menjadi pusher kerana pengaruh negatif rakan selain desakan hidup. Saya kesal kerana akibatnya, saya terlepas detik berharga melihat anak tunggal membesar," katanya yang dikurniakan seorang anak lelaki berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, kehidupannya di dalam tirai besi memberikan keinsafan dan kini dia mampu menghafaz tiga juzuk al-Quran.

Bagi Bulat (bukan nama sebenar), 33, mengambil upah membekalkan dadah akibat kehilangan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19 menjadi titik hitam dalam hidup apabila ditahan dan dihukum pada 2022.

"Ketika itu saya bekerja kilang di Perlis, saya hilang kerja akibat PKP sedangkan saya perlu membayar sewa rumah dan menanggung adik-beradik di kampung," kata lelaki itu yang meraih upah hingga RM3,000 ketika menjadi pusher dadah.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun, berazam menjadi insan baharu dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang, justeru kemahiran Sistem Latihan Dual Nasional (SDLN) yang diikuti semasa dalam tahanan di PPA Batu Gajah, digunakan sebagai mata pencarian apabila bebas kelak.

Fifi menjalani kemahiran membuat pastri, Apit menguasai kemahiran menjahit pakaian, manakala Bulat mengasah bakat dalam pertukangan kayu.

Selepas mengikuti program itu selama enam bulan hingga setahun, mereka kini cukup mahir dalam bidang masing-masing yang sebelum ini perkara asing buat mereka.

Pengarah PPA Batu Gajah Penolong Komisioner Penjara S Tanabal berkata, selain itu, kursus lain ditawarkan kepada tahanan ialah pertukangan rotan.

"Program ini bertujuan melengkapkan tahanan dengan kemahiran dan apabila mereka bebas, mereka dapat manfaatkan kemahiran ini bagi menjana pendapatan sekali gus meneruskan kehidupan. Ia juga bertepatan slogan Reformasi Koreksional Membangun Peradaban, Bold, Brave & Radical," katanya.

Selain kemahiran berkenaan, Tanabal berkata, penghuni wanita turut diberi latihan pengurusan spa kecantikan secara bersemuka di luar premis penjara iaitu Spa My Pride yang menyediakan pelbagai khidmat kecantikan dan rawatan wajah.

PPA Batu Gajah kini menempatkan 499 tahanan terdiri daripada Orang Tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985) dengan tempoh tahanan hingga dua tahun.

Sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Henry Gurney Wanita, ia satu-satunya PPA yang menempatkan tahanan golongan itu yang kini ada 41 tahanan wanita.

Jualan semua produk hasil tangan penghuni boleh didapati di Galeri Jualan Vokasional Industri di pekarangan premis PPA Batu Gajah dan orang ramai boleh menghubungi pusat itu melalui talian 05-3632255 bagi sebarang pertanyaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 7:03 AM