PEGAWAI AADK memeriksa penagih yang ditahan di bekas tapak pelupusan sampah Krubong. FOTO Zairee Mohd Yasak
PEGAWAI AADK memeriksa penagih yang ditahan di bekas tapak pelupusan sampah Krubong. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


HANYA sempat bebas kira-kira dua jam dari tahanan polis, Mokhtar (bukan nama sebenar), 54, bagaimanapun ditahan semula Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka ketika asyik bersama kumpulan penagih di bekas tapak pelupusan sampah Krubong di Melaka, semalam.

Difahamkan, lelaki yang juga pekerja rencam itu diberkas di rumahnya di Kampung Melekek, Alor Gajah, malam kelmarin oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sebelum dibebaskan semalam.

Mokhtar berkata, ketagihan dadah jenis heroin menyebabkan dia nekad mendapatkan bekalan dadah bernilai RM10.

“Ingatkan tak kena cekup lagi... rupa-rupanya takdir saya kena cekup sekali lagi hari ini (semalam).

“Tak tahulah nasib saya, sama ada beraya di luar atau di pusat selepas ujian air kencing nanti,” kata bekas kakitangan kerajaan itu.

Dalam Operasi Perdana AADK selama empat jam bermula jam 5 petang itu, 30 individu ditahan termasuk dua wanita berusia antara 24 hingga 54 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah AADK Negeri, A Reuben berkata, operasi membabitkan 30 anggota dan pegawai itu dirancang hasil risikan pihaknya serta maklumat orang awam.

“Berdasarkan hasil risikan dan maklumat diterima, kita dapati penagih mengunjungi sarang penagihan ini ketika umat Islam sibuk berbuka puasa, bermula jam 5 petang.

“Kita juga berjaya menahan lima orang di bawah pengawasan (OKP) yang melanggar syarat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya merampas 100 gram heroin serta methamphetamine dalam operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 2:34 PM