ANTARA dadah yang dirampas polis. Foto ihsan polis
ANTARA dadah yang dirampas polis. Foto ihsan polis
Ahmad Hasbi


Port Dickson: Edar dadah kepada pengunjung kelab malam untuk berseronok pada ambang tahun baru. Itu yang dilakukan dua lelaki apabila polis menahan mereka bersama pelbagai jenis dadah di hadapan pusat hiburan di Lukut, di sini, awal pagi semalam.

Malah, serbuan di bilik sewa mereka tidak jauh dari lokasi pertama kemudiannya turut menemui pelbagai jenis dadah dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM35,450.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan, Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, pihaknya membuat risikan terhadap dua lelaki yang berusia 25 dan 27 tahun hasil maklumat yang diterima.

"Dua pegawai bersama lapan anggota JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan membuat operasi sempena ambang tahun baru. Dalam operasi ini kami menahan dua lelaki yang disyaki pengedar dadah di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah pusat hiburan di Lukut.

"Hasil pemeriksaan kami menemui 94 gram serbuk ekstasi, 15 pil eramin 5, 15 pil ekstasi dan 9 gram serbuk ketamin. Nilainya dianggarkan RM6,150," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, pihaknya mendapati suspek menyewa bilik di kawasan Lukut.

"Hasil pemeriksaan di bilik sewa suspek, kami menemui 190 gram serbuk ekstasi, 120 pil eramin 5, 135 pil ekstasi dan 110 gram serbuk ketamin dengan nilai dianggarkan berjumlah RM29,300," katanya.

Mohd Faisal berkata, kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan narkotik selain ujian saringan air kencing juga positif tiga jenis dadah.

"Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut. Kami mendapati mereka ini bertindak sebagai 'pusher' di pusat hiburan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 12:03 PM