PENGARAH Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (tiga dari kiri) bertanya khabar Man (dua dari kiri). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
PENGARAH Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (tiga dari kiri) bertanya khabar Man (dua dari kiri). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SUDAH 16 tahun saya menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam penjara...Semoga keajaiban doa pada malam Lailatul qadar membolehkan saya mendapat perkenan sultan untuk dibebaskan,” kata Man (bukan nama sebenar), seorang daripada 2,733 penghuni di Penjara Marang.

Lelaki berasal dari Kampung Pasir Mas, Kelantan itu dijatuhi hukuman penjara pada usia 15 tahun di bawah Tahanan Limpah Sultan (TLS) selepas disabit kesalahan membunuh ibu saudaranya pada 2002 ketika sedang khayal.

Man, 32, berkata, dia tidak pernah berhenti memohon doa supaya memperoleh perkenan sultan untuk dibebaskan daripada penjara itu selepas 16 tahun menjalani hukuman.

“Tiada siapa sanggup dan ingin membunuh ibu saudara sendiri dan saya berasa sangat bersalah, malah sehingga kini masih dihantui perasaan itu.

“Menjalani hukuman penjara seawal usia 15 tahun banyak memberi pengajaran kepada saya, sekali gus memberi keinsafan untuk kembali ke pangkal jalan.

“Terlalu banyak kesilapan saya lakukan ketika muda dan perlu dibaiki sekarang.

“Saya cuma berharap untuk bebas dan menjalani kehidupan baru di luar sementara masih ada usia selain merindui suasana hidup bersama keluarga terutama pada Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, terdapat perbezaan antara dia sebagai tahanan di bawah TLS berbanding tahanan lain kerana tempoh tahanannya tidak menentu dan tidak boleh dihitung .

“Pesalah lain, biarpun menerima hukuman lebih 20 tahun penjara, mereka boleh menghitung hari untuk dibebaskan tetapi saya tidak boleh berbuat demikian dan hanya bergantung kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan sultan.

“Setiap masa saya berharap nama tersenarai antara tahanan TLS yang mendapat pengampunan untuk dibebaskan kerana sudah tidak sabar untuk melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak 16 tahun lalu.

“Saya yakin pelbagai perubahan sudah berlaku di kampung sekarang dan berasa rindu untuk menjalani kehidupan di sana seperti dulu,” katanya.

Menurutnya, dia diajar dengan pelbagai kemahiran antaranya cara menenun songket sepanjang menjalani hukuman di penjara.

Katanya, sekiranya dibebaskan nanti, dia bercadang untuk menjalankan perusahaan songket di kampung.

“Saya tahu kesalahan 16 tahun lalu sukar untuk ditebus, cuma berasa bersyukur kerana semua ahli keluarga sudah memaafkan saya.

“Oleh itu, saya amat berharap dibebaskan secepat mungkin untuk berbakti kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 10:06 PM