Pegawai DBKL menjalankan pindahan barangan perniagaan dari premis dan penjaja asing di sekitar Ibu negara.
Pegawai DBKL menjalankan pindahan barangan perniagaan dari premis dan penjaja asing di sekitar Ibu negara.
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa terus menggempur penjaja asing dan semalam tujuh penjaja warga asing diambil tindakan oleh Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Parlimen Bukit Bintang.

DBKL dalam kenyataan di Facebook, berkata pemantauan dan pemeriksaan itu dilakukan di sekitar Jalan Sultan (Pasar Karat), Jalan Petaling dan Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) di sini.

Katanya, tujuh tindakan penyitaan dilakukan ke atas penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan seperti barangan-barangan terpakai, sirih dan makanan secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun ke atas peniaga tempatan beroperasi tanpa lesen yang menjual aksesori dan penjualan makanan," katanya.

Menurutnya, kesalahan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil 3 (UUK), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

"Kawalan penguatkuasaan juga dijalankan bersama Jabatan Pelesenan Pembangunan Perniagaan DBKL sebagai pemerhati kepada penjaja haram.

"Pemerhatian ini dijalankan supaya kesemua aktiviti perniagaan Pasar Karat beroperasi sepenuhnya di lokasi baru berhampiran Pasar Lee Lam Thye di Lorong Bandar 21," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 1:16 PM