GAMBAR arkib mengenai kegiatan warga Rohingya yang berniaga di sekitar Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
GAMBAR arkib mengenai kegiatan warga Rohingya yang berniaga di sekitar Pasar Borong Selayang. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terbabit dalam industri khususnya di sektor Tred, Perniagaan dan Industri serta Penjajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, tindakan penguatkuasaan itu nanti turut membabitkan lain-lain agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Nur Hisham berkata, langkah itu adalah usaha DBKL menghadapi kebanjiran warga asing khususnya di sektor berkenaan yang memberi impak tidak baik kepada peniaga tempatan selain mencemarkan imej bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, terdapat dua kategori perniagaan dikawal UUK di wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diurus tadbir DBKL.

"UUK bertujuan mengawal aktiviti perniagaan dan menguatkuasakan peruntukan peraturan di dalamnya dan jenis perniagaan itu adalah Tred, Perniagaan dan Industri dan Penjajaan.

"Aktiviti perniagaan di bawah Tred, Perniagaan dan Industri menggunapakai UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Industri 2016 serta UUK Pelesenan Penempatan Makanan 2016.

"Aktiviti perniagaan ini beroperasi di rumah kedai, kompleks beli-belah, bangunan pejabat, restoran, kedai runcit dan serbaneka.

"Mengikut perundangan, pemegang lesen dibenarkan mengambil mana-mana warga asing mempunyai permit kerja yang sah untuk bekerja," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, DBKL berkuasa membatalkan lesen itu jika pemegang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan pekerja warga asing.

Menurutnya, aktiviti penjajaan pula meliputi pasar borong, pasar dan penjaja serta menggunapakai UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, UUK Pasar (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Katanya, aktiviti perniagaan itu beroperasi di pasar, tepi jalan, pusat penjaja dan pasar malam.

"UUK Pasar Borong (WPKL) 2002 membenarkan pemegang lesen mengambil pembantu warga tempatan yang diluluskan Datuk Bandar saja manakala UUK Pasar (WPKL) 2016 melarang pengambilan mana-mana pembantu warga asing di pasar awam atau mana-mana (warga asing) tanpa permit kerja sah bekerja di pasar persendirian.

"Begitu juga dengan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 yang tidak membenarkan pemegang lesen mengambil warga asing bekerja di gerai.

"Mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkenaan juga akan dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 4:08 PM