Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Shah Alam: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan ahli parti itu agar belajar daripada sejarah perjuangan reformasi yang digerakkan oleh banyak negara di seluruh dunia.

Menurutnya, sama ada negara di Afrika atau Eropah, sebelum mendapat amanah dalam memimpin kerajaan, janjinya adalah reformasi dan perubahan.

"Tetapi apabila sudah menggapai mandat itu, di tengah pengharapan rakyat yang begitu tinggi, bukan sedikit perjuangan yang mengangkat tema reformasi ini kecundang.

"Satu, memenuhi jangkaan rakyat yang begitu tinggi dapat dipenuhi, kemudiannya jatuh. Yang kedua, adalah kerana tahap keupayaan untuk mengisi makna perjuangan itu, tak sampai.

"Kerana yang kita cerita itu ideal. Ideal yang terbit daripada sebuah idealisme. Tetapi, apabila kita mendapat mandat perjuangan itu ternyata kapasiti kita yang namanya kecekapan dalam soal pentadbiran, tadbir urus, kehendak politik untuk membetulkan penyelewengan, tak sampai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

SAIFUDDIN Nasution berucap pada Konvensyen 25 tahun Parti Keadilan Rakyat di IDCC Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
SAIFUDDIN Nasution berucap pada Konvensyen 25 tahun Parti Keadilan Rakyat di IDCC Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mengingatkan mengenai faktor kegagalan reformasi adalah disebabkan terpesona dan lupa diri selepas diuji dengan nikmat menjadi kerajaan.

"Sebelum jadi pembangkang, hidup penuh derita, kemudian diuji dengan nikmat kerajaan dan kepimpinan. Waktu itu semua asas perjuangan semakin dilupakan.

"Yang mahu dibuat adalah menimbul dan menghimpun kekayaan. Itu antara ciri-ciri yang tidak membawa kepada kemenangan sebuah cerita perjuangan reformasi, mengambil contoh daripada perjuangan lampau," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, kejayaan reformasi akan diukur berdasarkan dasar dan program yang diterjemahkan sehingga rakyat memperoleh manfaatnya.

"Itu ukurannya. Ukurannya bukan berapa ramai menteri daripada blok Keadilan, berapa negeri menteri besar daripada Keadilan, berapa banyak exco yang diwakili oleh Keadilan, berapa ramai ahli Parlimen, berapa jumlah Adun.

"Ukuran yang sebenar bila kita memegang tampuk kuasa, kita berjaya menterjemahkan, faham reformasi itu dalam bentuk dasar kerajaan yang kemudian kita laksanakan, rakyat dapat manfaatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 11:41 AM