Suzalina Halid dan Suraya Ali


Kuala Lumpur: "Dulu ketika reformasi, kita lawan tetap lawan, kini perlu ditukar sikit, dulu lawan sekarang kawan," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika berucap melalui sesi Bicara Rakyat dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perubahan itu sanggup dilaksanakan demi memastikan Kerajaan Perpaduan ini kukuh dan stabil, selain berupaya berfungsi dengan baik untuk memelihara kepentingan rakyat secara bersama.

Beliau berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan mempunyai kepentingan bersama bagi menyumbang terhadap kestabilan politik, memakmurkan dan merakyatkan ekonomi serta memastikan keamanan.

"Jadi apa yang kita nak bawa balik dari konvensyen ini adalah keyakinan bahawa kerajaan Madani adalah kukuh, stabil dan dapat berfungsi dengan baik.

"Selain itu, menjaga kepentingan bersama menjadi asas perpaduan yang mengikat kita," katanya.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan keadilan kepimpinan itu dapat dirasai segenap lapisan masyarakat yang mana ia menjadi tekad dan azam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap konvensyen yang diadakan hari ini dapat menjadi titik kepada usaha mencari persamaan dalam 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, semua ahli dan akar umbi di bawah payung kerajaan perpaduan perlu segera bersatu untuk mengukuhkan kerajaan dan bukannya sibuk menjadi titik perbezaan antara parti.

"Cari titik persamaan dan bukan titik perbezaan, kita tidak akan ke mana jika masih cari titik perbezaan," katanya.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 5:06 PM